MINGGU SURAM, KEMATIAN KES COVID-19 LEBIH 12,000
MINGGU SURAM, KEMATIAN KES COVID-19 LEBIH 12,000
PETALING JAYA: Kematian baharu sebanyak 260 kes menjadikan jumlah kematian keseluruhan kes sebanyak 12,228 disebabkan Covid-19 dicatatkan semalam.
Pada Ahad lepas, jumlah kematian tertinggi dalam sehari dicatatkan dengan 380 kes. Apa yang membimbangkan adalah secepat mana kematian melepasi paras 11,000 dan 12,000, dan ini menjadi gambaran suram mengenai berapa pantasnya virus ini mengorbankan nyawa.
Rekod baharu kematian sebelum tiba ke hospital (BID) turut dicipta dua hari berturut-turut – 93 kes pada 12 Ogos, dan hari berikutnya, 96.
Pada hari sama, satu lagi rekod dicipta – 21,668 jangkitan baharu dicatatkan. Antara 12 Ogos dan semalam, kira-kira 13 peratus daripada mereka yang dijangkiti telah lengkap vaksinasi.
Seminggu sebelumnya, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Dr Chong Chee Kheong berkata, 80 hingga 100 kes BID dicatatkan setiap minggu.
Kluster tempat kerja terus mendominasi jumlah jangkitan yang dikesan sejak seminggu lalu, diikuti kluster berkait komuniti. Purata 36 kluster baharu dikesan setiap hari sepanjang tujuh hari lalu.
Minggu lalu, secara purata, 31 kluster baharu dikesan sehari, dengan kluster tempat kerja terbanyak. FMT mengimbau tajuk berita utama berkenaan Covid-19 sejak seminggu yang lalu.
Tiada kluster dilaporkan berkait tunjuk perasaan #Lawan dua minggu lalu, menurut Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.
Katanya, Kementerian Kesihatan (KKM) tidak mengenal pasti mana-mana kes baharu selepas tular satu hantaran media sosial mengatakan seorang individu dijangkiti virus ketika menghadiri tunjuk perasaan berkenaan.
Vaksin-vaksin Covid-19 yang digunakan di negara ini terbukti berkesan melawan varian Delta, kata Dr Noor Hisham.
Ini berdasarkan fakta bahawa vaksinasi di Labuan dan Sarawak berjaya mengurangkan kemasukan ke hospital, penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) dan alat bantuan kecemasan bagi pesakit Covid-19, katanya.
Pusat Racun Negara melaporkan dua kes keracunan melibatkan penggunaan Ivermectin, ubat yang sedang dilobi segelintir pihak untuk digunakan bagi merawat Covid-19.
Kes pertama membabitkan individu berusia 35 tahun yang mengalami sesak nafas lima hari selepas mengambil ubat berkenaan. Dalam kes kedua, seorang warga emas dijumpai dalam keadaan tidak sedarkan diri setelah disyaki mengambil 15 pil Ivermectin sekali gus.
Pada Khamis, FMT melaporkan keadaan kelam kabut dan tidak teratur di pusat pemberian vaksin (PPV) Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor yang mengakibatkan orang ramai terpaksa beratur di bawah terik matahari.
Mereka juga perlu berbaris sejauh lebih 1km, malah ada yang menunggu sehingga empat jam untuk mendapatkan vaksin.
Selain video yang menjadi tular mengenai barisan panjang dan kurangnya kepatuhan kepada prosedur operasi standard (SOP), seperti penjarakan fizikal, kekecohan turut tercetus di media sosial mengenai video yang menunjukkan orang ramai bersesak berlindung daripada hujan di bawah satu khemah.
Pada hari sama, orang ramai menyerbu sebuah PPV di Sandakan, Sabah, setelah diumumkan bahawa peraturan akan dilonggarkan bagi individu yang lengkap vaksinasi, dan kerajaan negeri membenarkan vaksinasi secara “walk-in”.
Kesesakan turut berlaku di PPV Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Selasa setelah fasiliti berkenaan dibuka bagi pendaftaran secara “walk-in” untuk bukan warganegara.