GUNA FASILITI KEMAS PERCEPAT VAKSINASI MENJELANG MUSIM TENGKUJUH-TIMBALAN MENTERI KPLB
GUNA FASILITI KEMAS PERCEPAT VAKSINASI MENJELANG MUSIM TENGKUJUH-TIMBALAN MENTERI KPLB
LIPIS: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) bersedia berkerjasama mempercepatkan vaksinasi dalam kalangan penduduk luar bandar dan pedalaman di negeri Pantai Timur menjelang musim tengkujuh pada awal bulan Oktober ini.
Timbalan Menteri Satu KPLB, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, oleh kerana Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dan agensi Lembaga Kemajuan Wilayah (LKW) negeri lebih dekat dengan penduduk lokaliti berkenaan, sumber tenaga pengurusan serta lojistik di bawah agensi itu akan digerakkan bagi tujuan tersebut.
“Peranan Kemas misalnya, banyak menumpukan aspek pendidikan, kemasyarakatan dan ekonomi selama ini di luar bandar merupakan sebagai pelantar sokongan untuk mempercepatkan penyelesaian program vaksinasi sebelum tiba musim pejur pada awal Oktober atau November ini.
“Kemas antara agensi kerajaan yang banyak kemudahan lojistik di luar bandar seperti dewan, pusat latihan kemahiran dan tadika sesuai dijadikan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sekiranya perlu untuk mempercepatkan program vaksinasi selari dengan hasrat Program Imunisasi Covid-19 (PICK),” katanya kepada media di PPV Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini hari ini.
Yang turut hadir, iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri Padang Tengku, Datuk Mustapa Long dan Pegawai Daerah Lipis, Datuk Mohd. Hafizi Ibrahim.
Sempena program lawatan ke tiga buah PPV, Abdul Rahman turut memantau dan beramah mesra dengan penduduk yang menerima suntikan vaksin, iaitu seramai 378 orang di PPV Balora Benta, PPV Padang Tengku (264 orang) dan PPV Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Kuala Lipis (816 orang).
Abdul Rahman yang juga Ahli Parlimen Lipis berkata, KPLB cakna dengan fenomena cuaca yang tidak menentu khususnya musim pejur dan sudahpun membuat persiapan awal dalam usaha mempercepatkan program vaksinasi menerusi bantuan Kemas dan agensi LKW negeri di seluruh negara.
“Di samping Kemas, kita akan menggunakan kemudahan fasiliti di bawah LKW negeri tertentu yang kerap terdedah dengan bencana banjir iaitu seperti Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) dan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah),” katanya.
Dalam perkembangan yang sama, Abdul Rahman berkata, seperti yang diumumkan oleh Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) sehingga 11 Ogos 2021 sebanyak 70 peratus daripada keseluruhan populasi dewasa telah menerima dos pertama dan 40.7 peratus dos kedua.
“Kerajaan akan terus memfokuskan usaha meningkatkan lagi sekali gus menambahbaik serta menaikkan jumlah pendaftaran dan juga penerimaan vaksin di seluruh negara khususnya di negeri yang masih rendah peratusan pemberian vaksin.
“Saya berharap penduduk luar bandar, pedalaman dan juga bandar yang masih belum menerima vaksinasi suaya mendaftarkan diri atau keluarga terdekat untuk mendapatkan temu janji serta hadir menerima vaksin pada masa yang ditetapkan bagi mengurangkan risiko jangkitan wabak Covid-19,” katanya.-SAHIH.