PENJAWAT AWAM ANTARA DITAHAN KERANA LINDUNGI PATI
PENJAWAT AWAM ANTARA DITAHAN KERANA LINDUNGI PATI
KUANTAN: Penjawat awam antara yang ditahan kerana melindungi Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dalam Op Patuh yang dijalankan di dua lokasi yang berbeza di Kuantan, bermula jam 5.00 petang sehingga 7.30 malam, semalam.
Operasi itu yang diketuai oleh Ketua Timbalan Penolong Pengarah Imigresen, Bahagian Penguatkuasa, Jabatan Imigresen Negeri Pahang , Jeffri Nasir bersama dengan 21 pegawai telah memeriksa dua buah rumah sewa di Lorong Galing, Taman Imbi, dekat sini.
“Hasil dari pemeriksaan tersebut mendapati seramai sebelas orang wanita warganegara Thai telah ditahan dan disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/1963(Akta 155).
“Selain itu, semasa operasi tersebut turut menahan seorang lelaki warganegara Malaysia yang juga merupakan seorang penjawat awam didapati telah tinggal dan berada bersama-sama dengan warganegara asing tersebut yang berumur antara 20 hingga 30 an,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Katanya, rumah itu dijadikan tempat tinggal bagi warganegara asing tersebut serta disyaki menjalankan aktiviti tidak bermoral selain menyediakan minuman keras di ruang tamu tingkat bawah rumah sewa berkenaan.
“Antara kesalahan dikenalpasti ke atas warganegara asing tersebut adalah di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 (Akta 155) iaitu masuk dan tinggal di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah serta Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 (Akta 155) iaitu telah tinggal lebih masa di negara ini.
“Manakala, penjawat awam tersebut disiasat di bawah Sek. 56(1) (d) Akta Imigresen 1959/1963 (Akta 155) iaitu dengan sengaja memberi perlindungan kepada mana-mana orang yang diketahui telah melanggar peruntukan Akta Imigresen,” katanya.
Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menegaskan kepada orang ramai supaya tidak melindungi PATI dan juga menyeru agar orang ramai tampil dan menyalurkan maklumat kepada Imigresen sekiranya mempercayai terdapat aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang-undang.
“Semua warga asing tersebut ditahan di Depot Imigresen Kemayan untuk tujuan siasatan lanjut, “ katanya.-SAHIH.