TERGAMAM LIHAT POKOK HEMPAP LIMA KENDERAAN
TERGAMAM LIHAT POKOK HEMPAP LIMA KENDERAAN
JOHOR BAHRU: “Saya tergamam dan terkejut apabila melihat depan mata sendiri sebatang pokok besar tumbang dan menghempap lima buah kenderaan serta motosikal.
Itu reaksi Nurazimah Hussin, 24, yang ketika itu sedang bekerja sebagai juruwang di sebuah kedai yang terkejut apabila melihat pokok besar di hadapan tempat dia bekerja dipanah petir lalu tumbang.
“Ini kali pertama saya melihat kejadian ngeri berlaku depan mata. Rasa macam lihat filem tetapi ini benar-benar berlaku.
“Saya tak tahu nak buat apa-apa selain cuma mampu melihat dan badan saya tiba-tiba menggigil masa itu,” katanya ketika ditemui di pekan Ulu Tiram di sini hari ini.
Terdahulu, kejadian ribut dan petir berserta hujan lebat berlaku kira-kira pukul 3 petang mengakibatkan beberapa jalan mengalami banjir kilat dan pokok tumbang.
Pokok tumbang yang terletak di tengah pekan Ulu Tiram berhampiran hentian bas dan teksi itu mengakibatkan lima buah kereta serta beberapa buah motosikal dihempap oleh pokok.
Namun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan selain sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Jaya bergegas ke tempat kejadian.
Sementara itu, rakan sekerjanya, Nurul Aisyah Razman, 18, turut terkejut apabila mendengar bunyi petir yang amat kuat disusuli dengan bunyi pokok tumbang, lapor KOSMO online
“Ia berlaku sekelip mata dan ketika itu ada beberapa kenderaan di hadapan kedai saya bekerja. Mujur tidak ada orang yang berada didalam kenderaan, kalau tidak, tak tahu apa akan terjadi,” katanya