NYARIS MAUT DIHEMPAP POKOK TUMBANG
NYARIS MAUT DIHEMPAP POKOK TUMBANG
KOTA TINGGI – Seorang penghantar makanan patah kaki selepas dihempap pokok yang tumbang ketika angin kuat dan hujan lebat berlaku di Jalan Besar Pekan Telok Sengat, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian itu pada pukul 3 petang melibatkan mangsa seorang lelaki berusia 23 tahun berasal dari Felda Sungai Mas.
Katanya, selain motosikal jenis Yamaha 135 LC ditunggang mangsa, turut terlibat dalam kejadian itu adalah sebuah kereta Perodua Axia dipandu seorang warga emas berusia 61 tahun yang bahagian depan kiri keretanya kemik.
“Ketika kejadian pemandu kereta dalam perjalanan dari arah Jalan Besar ke Pekan Teluk Sengat dan masa itu keadaan cuaca hujan dan angin kuat.
“Ketika tiba di lokasi kejadian, tiba-tiba sebatang pokok besar telah tumbang dan menghempap sedikit bahagian hadapan sebelah kiri keretanya.
“Pada masa sama sebuah motosikal ditunggang lelaki 23 tahun dari arah Pekan Telok Sengat menuju ke Jalan Besar turut di hempap oleh pokok tersebut menyebabkan dia mengalami kecederaan disyaki patah bahagian peha kiri,”katanya dalam kenyataan hari ini.
Hussin berkata, Ketua Polis Balai Telok Sengat bersama anggotanya turut bergegas ke tempat kejadian dan membuat kawalan lalu lintas serta memberikan bantuan kecemasan di tempat kejadian, lapor KOSMO online
Katanya, mangsa ketika itu terbaring di atas jalan raya bersama motosikal dalam keadaan dihempap dahan-dahan pokok yang tumbang.
“Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Daerah Kota Tinggi untuk mendapatkan rawatan dan keadaan mangsa dilaporkan stabil.
“Siasatan mendapati pokok yang tumbang berada di jarak lebih kurang 40 meter dari jalan raya. Pokok berkenaan disyaki pokok tua dan dipercayai terkena tiupan angin kuat sewaktu hujan lebat,”katanya.