BILA MASA SAYA JADI BAPA AYAM
BILA MASA SAYA JADI BAPA AYAM
PETALING JAYA – “Mengarut! Bila masa saya jadi ‘bapa ayam’? Saya elok saja ada di rumah bersama isteri dan anak-anak. Kelakarlah saya rasa”.
Itu reaksi pelawak, Tauke menafikan tekaaan ramai bahawa dialah individu yang ditahan polis berhubung kegiatan pemerdagangan manusia bagi tujuan eksploitasi seks di sebuah hotel di Kuala Pilah, Negeri Sembilan pada Ahad lalu.
Tauke atau nama sebenarnya Zamratul Amri Zakaria ketika dihubungi Kosmo! Online bertegas, dia bukan individu yang ditangkap polis seperti yang diuar-uarkan netizen selepas tular berita penangkapan seorang pelawak atas kesalahan eksploitasi seks hari ini.
“Bukan saya. Pelik kenapa netizen ‘petik’ nama saya sedangkan saya elok sahaja berada di rumah bersama isteri dan anak-anak di Bukit Jalil.
“Memanglah nama saya ‘tauke’, tapi saya bukan bapa ayam!” katanya kepada Kosmo!
Ditanya tentang perasaannya selepas disebut sebagai individu yang terlibat dengan pemerdagangan manusia, Tauke berkata dia terkejut namun pada masa sama menganggap tuduhan itu melucukan.
Bahkan, disebabkan perkara tersebut, dia turut mendapat banyak kiriman mesej daripada rakan-rakan artis untuk bertanyakan kesahihan tentang berita penangkapan dirinya oleh pihak polis.
“Ramai kawan mesej saya bertanyakan keadaan sebenar. Apa yang saya boleh cakap, kes tersebut tidak melibatkan saya dan tiada kena mengena dengan saya,” katanya.
Dalam pada itu, Taukeh berharap namanya dapat dibersihkan semula menerusi laporan media supaya masyarakat tidak tersalah anggap tentang dirinya.
“Saya harap media dapat membantu saya membersihkan semula nama saya,” katanya.
Sementara itu, isterinya, Nadia Mohd Affandi turut menafikan suaminya mempunyai kaitan dengan jenayah terbabit, sebaliknya berada disisinya ketika ini.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan seorang pelawak terkenal ditahan polis selepas disyaki terbabit dalam kegiatan pemerdagangan manusia bagi tujuan eksploitasi seks di sebuah hotel di Kuala Pilah, Ahad lalu.
Ketua Polis daerah Kuala Pilah, Superintendan Amran Mohd Ghani berkata, lelaki berusia 40-an itu ditahan dalam serbuan Ops Pintas pada pukul 10 pagi oleh Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Daerah selepas hasil risikan dan maklumat pihak polis, lapor KOSMO online
Menurutnya, dalam serbuan yang sama juga, polis berjaya menyelamatkan seorang wanita berketurunan Melanau daripada menjadi mangsa pemerdagangan manusia bagi tujuan eksploitasi seks.
Polis turut merampas sebuah kereta jenis Perodua Axia, beberapa bungkus kondom, sejumlah wang tunai dan empat buah talefon bimbit dalam serbuan berkenaan.