SANG RIANG TERIMA ALAT BANTUAN PERNAFASAN, PEMADAM API
SANG RIANG TERIMA ALAT BANTUAN PERNAFASAN, PEMADAM API
BERA: Rumah Kebajikan Warga Emas Sang Riang menerima sebanyak 10 alat bantuan pernafasan dan 200 alat pemadam api hasil inisiatif Nirwana Group Sdn Bhd.
Melalui inisiatif itu, sejumlah RM64,350 berjaya dikumpul hasil sumbangan orang ramai.
Pengerusi Nirwana Group, Datuk Seri Ng Chong Keat berkata, jumlah itu diperoleh hanya dalam masa dua minggu.
Penyampaian sumbangan itu dilakukan Pegawai Teknikal Nirwana Group, Muhamad Aidil Azrul Mohd Saffarudie, minggu lalu.
MUHAMAD AIDIL (DUA DARI KIRI) MENUNJUKKAN CARA MENGGUNAKAN ALAT BANTUAN PERNAFASAN
Muhamad Aidil turut mengadakan taklimat ringkas dan demonstrasi penggunaan alat berkenaan kepada kakitangan dan penghuni Rumah Kebajikan Warga Emas Sang Riang.
Sumbangan itu dijangka dapat memberi manfaat kepada kira-kira 100 kakitangan dan penghuni rumah kebajikan itu.
Sementara itu, Pengerusi Rumah Kebajikan Warga Emas Sang Riang, Yap Yoke Mey berkata, pihaknya sangat mengalu-alukan sumbangan daripada semua pihak bagi memberikan keselamatan kepada penghuni.
“Kita menerima banyak sumbangan dalam bentuk barangan keperluan asas dan juga peralatan bagi melindungi kesihatan penghuni seperti pelitup muka dan cecair pembasmi kuman.
“Selain itu, Rumah Kebajikan Warga Emas Sang Riang masih mempunyai kemampuan untuk menerima penghuni baru kerana pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sudah meluluskan permohonan kita untuk menyediakan tempat kepada 500 penghuni yang memerlukan tempat perlindungan.
“Buat masa ini, kita masih ada 170 tempat kosong yang sedia diisi oleh mana-mana pihak yang tidak mempunyai tempat tinggal dan mereka boleh datang berjumpa kami untuk berbincang,” katanya.