CARL SAMSUDIN MOHON MAAF
CARL SAMSUDIN MOHON MAAF
PETALING JAYA – Usahawan dan pensohor media sosial, Carl Samsudin yang didakwa memalukan seorang gelandangan warga emas Selasa lalu menyatakan permohonan maaf secara terbuka melalui laman Instagram miliknya, hari ini.
Menurut Carl, dia tidak berniat menghina sesiapa dan hanya mahu membantu golongan tersebut mengubah kehidupan selain tidak terfikir ada elemen kurang baik daripada rakaman video tersebut.
“Jika ketika petikan video itu dirakam kelihatan seperti saya tidak beradab dengan pak cik tersebut saya betul-betul mohon maaf.
“Sejujurnya sebelum, semasa dan selesai bercakap saya menyantuni pak cik berkenaan serta semua gelandangan dengan baik dan mereka semua gembira pada hari tersebut,” tulisnya dalam hantaran terbaharu tersebut sebentar tadi.
Katanya, dia turut berhasrat bertemu warga emas itu sekali lagi dalam masa terdekat untuk meminta maaf sekali gus memperbetulkan kesilapan dirinya, lapor KOSMO online
Carl turut memohon maaf kerana tidak memakai pelitup muka ketika bercakap pada hari kejadian dan mengakui dia sudah dipanggil pihak polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi dan dikenakan kompaun.
Menurutnya, pada hari kejadian dia dijemput pihak pengurusan Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur dan Yayasan Kebajikan Negara untuk membantu sekelompok gelandangan yang berada dalam fasa bangkit untuk memulakan perniagaan.
“Saya mohon maaf tidak terlintas di minda saya untuk menghina mereka yang memerlukan bantuan kerana saya juga sama seperti mereka yang pernah susah dan memerlukan orang ramai dahulu.
“Bagaimanapun, saya sedar saya tidak patut bercakap dengan nada begitu dengan mereka yang lebih berusia daripada saya. Saya minta maaf ini pengajaran besar kepada saya,” ujarnya.
Terdahulu, video berdurasi 50 saat itu memaparkan Carl mempersoalkan adakah warga emas itu menyesal kerana tidak berusaha sewaktu muda sehingga dia menjadi gelandangan disifatkan menjatuhkan air muka warga emas berkenaan.