4 PELARIAN ROHINGYA TERBUNUH
Berita Global
4 PELARIAN ROHINGYA TERBUNUH
DHAKA: Sekurang-kurangnya empat pelarian Rohingya terbunuh dan puluhan lain cedera dalam perbalahan antara dua puak di kem perlindungan sementara pelarian Rohingya di Cox’s Bazar, lapor agensi berita Anadolu.
Pesuruhjaya Bantuan Pelarian dan Pemulangan Tambahan, Mohammad Shamsu Douza, berkata perbalahan, pertempuran balas dan tembakan berlaku semalam di kem pelarian Kutupalong di Ukhia, Cox’s Bazar.
“Ia berterusan sepanjang malam tetapi jumlah yang cedera masih belum dapat dipastikan.
“Sebelum pertempuran maut ini berlaku, pihak berkuasa menahan sembilan individu Rohingya atas tuduhan jenayah yang berlainan.
“Pihak penguatkuasaan undang-undang, termasuk tentera, unit antikeganasan dan polis sedang berusaha mengawal keadaan,” katanya kepada stesen televisyen tempatan Somoy News.
Menurut Douza lagi, tiga etnik Rohingya terbunuh dalam pertempuran puak itu untuk merebut kawasan dalam kem itu sejak beberapa hari lalu.
Pengurus Kem, Mahfuzur Rahman, memberitahu wartawan bahawa 500 keluarga Rohingya dipindahkan dari Kem 1 kerana bimbang berlaku pertempuran dan mereka kini berlindung di rumah saudara-mara di kem lain.
Katanya, keluarga Rohingya terbabit hanya dapat kembali ke rumah mereka selepas keadaan kembali normal kerana ketegangan masih tinggi di kem.
Sumber: BERNAMA