PELAJAR IPT BOLEH BALIK CUTI SEMESTER
PELAJAR IPT BOLEH BALIK CUTI SEMESTER
PUTRAJAYA – Pelajar di institusi pendidikan tinggi (IPT) yang telah tamat sesi akademik 2020/2021 dibenarkan pulang ke rumah masing-masing bermula 12 Julai ini sempena cuti semester yang bermula bulan ini hingga Oktober depan.
Perkara itu dipersetujui dalam Mesyuarat Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang diadakan hari ini.
Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menetapkan beberapa mekanisme kawalan pergerakan para pelajar di IPT secara berfasa bagi memastikan pergerakan mereka adalah terkawal.
Menurut kenyataan itu, bagi fasa permulaan, pergerakan pelajar hanya dibenarkan di kawasan yang tidak tertakluk kepada Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD).
“Pergerakan pelajar di dalam kawasan PKPD hanya dibenarkan selepas tempoh PKPD tersebut tamat,” katanya di sini hari ini.
KPT berkata, pihaknya menetapkan kaedah pergerakan sehala pelajar iaitu menggunakan pengangkutan bas yang diselaraskan oleh IPT masing-masing dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
“Pergerakan pelajar menggunakan kenderaan sendiri turut dibenarkan.
“Ibu bapa atau penjaga tidak dibenarkan merentas negeri untuk membawa pelajar pulang,” katanya.
KPT seterusnya memaklumkan bagi pelajar yang pulang ke Sabah, Sarawak dan Labuan, kos ujian calitan RT-PCR akan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan, lapor BH ONLINE.
“Kos kuarantin pula akan ditanggung oleh kerajaan negeri masing-masing. Aspek keselamatan dan kesihatan pelajar adalah menjadi keutamaan KPT ketika pergerakan pelajar berlangsung,” katanya. -K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929