TIADA LAGI PERATURAN GOL TEMPAT LAWAN
TIADA LAGI PERATURAN GOL TEMPAT LAWAN
LAUSANNE, Switzerland: Badan bola sepak Eropah, UEFA hari ini mengesahkan, mereka telah menghapuskan peraturan gol di tempat lawan dari saingan Liga Juara-Juara dan Liga Europa bermula musim 2021-2022.
Peraturan gol tempat digunapakai sejak lebih setengah abad lalu untuk menentukan pemenang dalam dua perlawanan timbal balik jika keputusan terikat di peringkat kalah mati.
Presiden UEFA, Aleksander Ceferin bagaimanapun berkata, peraturan itu bertentangan dengan tujuan asalnya dan menghalang pasukan bermain secara menyerang.
Peraturan itu pada awalnya diperkenalkan untuk mendorong pasukan pelawat lebih banyak menyerang di tempat lawan, namun ramai yang merasakan ia telah menyebabkan tuan rumah bermain dengan lebih berhati-hati, lapor Agensi.
GAMBAR HIASAN
“Peraturan gol tempat lawan menjadi bahagian penting dalam pertandingan UEFA sejak diperkenalkan pada 1965.
“Bagaimanapun, persoalan untuk menghapuskannya telah diperdebat dalam mesyuarat UEFA sejak beberapa tahun terakhir.
“Kesan peraturan sekarang bertentangan dengan tujuan asalnya. Sebenarnya, ia telah membuatkan pasukan tuan rumah, terutama di peringkat pertama kurang menyerang kerana takut melepaskan gol yang akan memberi kelebihan penting kepada lawan mereka,” kata Ceferin.