DUA WARGA EMAS, KEMATIAN BAHARU COVID-19 DI PAHANG
DUA WARGA EMAS, KEMATIAN BAHARU COVID-19 DI PAHANG
KUANTAN: Pahang mencatatkan terdapat dua kes kematian baharu Covid-19 membabitkan warga emas, hari ini.
Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Bahari Che Awang Ngah berkata, berdasarkan kepada pertambahan itu menjadikan jumlah kumulatif kematian di Pahang meningkat kepada 114 kes.
“Kes kematian ke-113 merupakan seorang lelaki berumur 70 tahun dari Taman Seri Mahkota Jaya, Batu 11, Jalan Gambang, dekat sini manakala kes ke-114 juga merupakan lelaki dan berumur 78 tahun berasal dari Felda Mayam, Bera.
“Namun bagitu kes ke-114 yang mempunyai kaitan dengan Kluster Rantau Kenangan di Maran telah disahkan meninggal dunia disebabkan penyakit lain iaitu leukemia,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Dr Bahari, sebanyak 131 kes baharu telah dilaporkan di negeri ini menjadikan jumlah keseluruhan kes disahkan positif Covid-19 di mencecah 12,211 kes.
“Sebanyak 91 kes merupakan warganegara Malaysia manakala 40 kes merupakan warganegara asing… namun telah diklasifikasikan 130 kes dikategorikan sebagai jangkitan tempatan dan satu kes import dari Kuala Lumpur.
“Terdapat 86 kes diperolehi daripada saringan kluster, 40 saringan kontak rapat empat saringan bergejala dan satu saringan bersasar,” katanya.
Dr Bahari berkata, terdapat sedikit pertambahan kes di tujuh daerah seperti yang dicatatkan dan kes tertinggi ialah di daerah Lipis iaitu 40 kes, diikuti Temerloh 38 kes, Kuantan 24 kes, Bentong 11 kes, Bera sembilan kes, Raubz (lima kes) dan Jerantut (empat kes).
Tambahnya lagi, lima kluster aktif dan mencatatkan pertambahan kes iaitu Kluster Indera Mahkota 16, Kluster Industri Mentakab, Kluster Lorong Empat Jerantut, Kluster Rantau Kenanga serta Kluster Selindang.
“Dalam pada itu, tujuh daerah telah dinyatakan berada dalam zon merah membabitkan Bentong, Bera, Jerantut, Kuantan, Lipis, Maran dan Temerloh.
“Selebihnya, satu daerah berada dalam zon jingga iaitu Cameron Highlands dan tiga yang lain seperti Raub, Rompin dan Pekan berada dalam zon kuning,” katanya-SAHIH