GAJAH LIAR MASUK KAMPUNG, MUSNAH TANAMAN
GAJAH LIAR MASUK KAMPUNG, MUSNAH TANAMAN
JERANTUT : Kira-kira 30 batang tanaman pokok kelapa yang berusia lebih setahun milik penduduk musnah oleh sekumpulan gajah liar termasuk menceroboh masuk ke perkampungan Hulu Tembeling pada jam 1.00 hingga 2.00 pagi, hari ini.
Lima hingga enam ekor haiwan itu turut menceroboh bilik mandi penduduk kampung yang terletak di luar beberapa buah rumah di situ dan merosakkan pakaian yang direndam di dalam besen.
Penduduk Kampung Kuala Sat, Jefridin Bahari, 46, berkata ketika kejadian itu dia dan keluarganya sedang tidur kemudiannya dikejutkan oleh isterinya apabila terdengar bunyi bising di luar rumah.
“Kami menyangka ternakan kerbau yang selalu berada berdekatan rumah pada waktu malam, tetapi setelah dijengah keluar dan menyuluh menggunakan lampu suluh, kami sangat terkejut apabila beberapa ekor gajah liar ini sedang memusnahkan tanaman kelapa,” katanya..
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) Kuala Sat, Abdul Jabar Dolah berkata, dia juga menerima maklumat kejadian itu apabila seorang penduduk telah terserempak dengan gajah liar itu ketika dalam perjalanan ke kebun pada jam 8.00 pagi hari ini.
“Kebun penduduk berkenaan cuma jarak kira-kira 50 meter dari rumah , tetapi mujurlah tidak menghampiri rumah penduduk kampung oleh haiwan liar itu, cepat beredar ke hutan berdekatan apabila ternampak kelibat manusia.
“Saya telah menghubungi pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk memantau dan menghalau kawanan gajah liar ini ke hutan supaya tidak mengancam tanaman mahupun keselamatan penduduk,” katanya.
Tambahnya, kumpulan gajah liar itu kerap merosakkan tanaman sawit dan getah penduduk sebelum ini berikutan habitat haiwan liar di kawasan pedalaman Hulu Tembeling sudah diteroka untuk pembangunan ladang dan pembalakan sejak beberapa tahun lalu. –SAHIH.