PAIP LORI TANGKI KE PENYIMPANAN OKSIGEN BOCOR CETUS KEPULAN ASAP
PAIP LORI TANGKI KE PENYIMPANAN OKSIGEN BOCOR CETUS KEPULAN ASAP
Kuala Lumpur: Kebocoran paip penyambungan daripada lori tangki ke sistem penyimpanan oksigen di Blok Kejuruteraan Hospital Kuala Lumpur (HKL), di sini, menyebabkan kawasan berkenaan dipenuhi kepulan seperti asap berwarna putih, petang tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 6.13 petang.
“Seramai 17 anggota bersama tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Titiwangsa dan BBP Jalan Tun Razak dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba, kami mendapati terdapat kebocoran pada sistem penyimpanan oksigen di luar bangunan blok terbabit yang menyebabkan persekitaran lokasi kejadian dipenuhi kepulan seperti asap berwarna putih,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, kejadian itu berpunca daripada paip penyambungan daripada lori tangki berkapasiti 7,000 liter yang membawa bekalan oksigen bocor ketika melakukan kerja mengisi bekalan terbabit ke tangki di hospital berkenaan.
“Anggota bomba daripada Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya kemudian berjaya menutup paip penyambungan terbabit sebelum kerja-kerja pembersihan dilakukan, lapor HM online.
” Pemandu lori tangki melecur di tangan kiri dalam kejadian itu,” katanya.