DUA LELAKI SAMUN PENIAGA WANITA TULAR
DUA LELAKI SAMUN PENIAGA WANITA TULAR
PETALING JAYA – Satu kejadian samun yang berlaku di sekitar IJM Jalan Kebun berhampiran Kota Kemuning Shah Alam tular di laman Twitter hari ini.
Menerusi rakaman televisyen litar tertutup (CCTV), jenayah tersebut dilakukan oleh dua orang lelaki yang menunggang motosikal terhadap seorang peniaga wanita di kawasan tersebut.
Rakaman berdurasi 45 saat itu menunjukkan barangan peniaga tersebut diambil oleh salah seorang penjenayah berkenaan ketika wanita itu menoleh ke arah lain buat seketika, sebelum lelaki tersebut melarikan diri menggunakan motosikal bersama rakannya yang menunggu berhampiran.
Peniaga wanita itu tidak sempat melakukan apa-apa dan seolah-olah terkejut dengan tindakan yang dilakukan oleh lelaki terbabit dan segera meminta pertolongan orang awam yang berada di kawasan kejadian.
Rata-rata pengguna laman Twitter menyelar tindakan penyamun tersebut dan berharap dua lelaki berkenaan dapat ditangkap dengan segera oleh pihak polis.
“Saya terkedu. Jika manusia sudah terdesak untuk melakukan kerja jahat, walaupun Allah sedang uji hambaNya dengan wabak Covid-19 pun tidak sedikit dia merasa takut.
“Kasihan kakak tu. Semoga Allah bantu kakak tersebut untuk dapatkan semula jualan,” ciap @hzqhalo.
Pengguna bernama @nabilaasyqin pula berkata: “Orang lain penat bekerja siang dan malam untuk mencari rezeki, mereka senang sahaja datang mencuri. Sakit pula hati saya tengok video ini., lapor KOSMO online.
Bagi @arytopia2021, apa yang berlaku tersebut sangat memalukan kerana penjenayah terbabit sihat anggota badan.
“Tindakan yang mereka lakukan sangat memalukan. Walaupun anggota badan mereka sihat, mereka memilih untuk mencuri dari bekerja,” ciapnya.