NEKAD RENTAS SEMPADAN GUNA DOKUMEN PALSU
NEKAD RENTAS SEMPADAN GUNA DOKUMEN PALSU
BENTONG – Dua lelaki berusia 25 dan 34 tahun yang nekad dengan memalsukan dokumen kebenaran perjalanan merentas sempadan dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kelantan ditahan di Sekatan Jalan Raya (SJR) Plaza Bentong, semalam.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd. Kahar berkata, kedua-dua lelaki yang menaiki sebuah kereta itu ditahan dalam pemeriksaan dan menunjukkan surat kebenaran yang meragukan oleh pihak pegawai dan anggota polis yang bertugas.
“Siasatan awal mendapati cop dan tandangan ketua polis balai yang telah meluluskan permit tersebut disyaki dipalsukan dan semakan di balai terbabit mendapati nombor siri rentas negeri tidak wujud,”katanya di sini, hari ini.
Katanya, peningkatan kes pemalsuan dokumen semakin menjadi-jadi serta prosedur operasi standard yang dikeluarkan seperti tidak dipatuhi oleh individu yang mementingkan diri sendiri.
“Kedua-dua lelaki itu masing-masing dikompaun sebanyak RM4,000 dan serta ditahan di Ibu Pejabat polis Daerah (IPD) Bentong.
“Pihak polis akan terus melakukan pemantauan dan pemeriksaan yang lebih ketat dengan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang memalsukan dokumen rentas negeri,” katanya.
Katanya, setakat ini seramai tujuh individu telah ditahan kerana didapati memalsukan dokumen rentas negeri dalam pemeriksaan di SJR Tol Bentong arah ke Kuantan.-SAHIH.