BANJIR MAKIN TERUK DI SABAH
BANJIR MAKIN TERUK DI SABAH
BEAUFORT: Hujan berterusan sejak petang semalam di beberapa daerah negeri ini mengakibatkan banyak kawasan kampung dilanda banjir, malam tadi.
Situasi berkenaan turut menyebabkan kebanyakan kampung di daerah Beaufort yang sebelum ini sudah pulih kembali digenangi air.
Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam (APM) Sabah, berkata 124 penduduk daripada 29 keluarga di daerah Beaufort, Tenom dan Keningau sudah dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) berbeza mengikut daerah masing-masing.
“Seramai 57 mangsa daripada 18 keluarga kini sudah ditempatkan di PPS Dewan Datuk Seri Panglima Dun Banir sekitar awal pagi tadi manakala jumlah penduduk masih dipindahkan di PPS Rumah Kebudayaan Kalang Kanar, Tenom kekal 26 orang membabitkan lima keluarga sejak beberapa hari ini.
“Bagaimanapun, kita sudah memindahkan 41 mangsa banjir membabitkan enam keluarga ke PPS Dewan Kampung Pauh, Sook susulan beberapa kampung di daerah Keningau mula dinaiki air malam tadi.
“Proses pemindahan masih dilaksanakan di semua kawasan terjejas ketika ini dan jumlah mangsa terjejas dijangka akan bertambah dari semasa ke semasa,” katanya.
Dalam pada itu, jurucakap APM menyatakan jumlah keseluruhan mangsa banjir ketika ini membabitkan penduduk di 67 kampung di ketiga-tiga daerah, lapor BH ONLINE.
Terdahulu, semua mangsa banjir yang ditempatkan di PPS Dewan Datuk Seri Panglima Dun Banir sudah dibenarkan pulang sekali gus PPS terbabit ditutup sekitar jam 2.30 petang semalam.