282 WARGA EMAS TERIMA VAKSIN
282 WARGA EMAS TERIMA VAKSIN
BERA: Seramai 282 warga emas yang menghuni Rumah Kebajikan Warga Emas Sang Riang dekat Triang, di sini, menerima vaksin COVID-19 hari ini.
Proses suntikan vaksin itu dilakukan petugas Pejabat Kesihatan Daerah Bera di rumah kebajikan itu.
Pengerusi Rumah Kebajikan Warga Emas Sang Riang, Yap Yoke Moey berkata, proses suntikan vaksin diadakan dua sesi membabitkan 150 warga emas hari ini dan bakinya akan menerima vaksin mereka esok.
“Ini adalah usaha awal bagi mengurangkan risiko penularan wabak COVID-19 dalam kalangan penghuni rumah kebajikan yang berisiko tinggi.
ANTARA PENGHUNI RUMAH KEBAJIKAN WARGA EMAS SANG RIANG YANG MENERIMA VAKSIN COVID-19 HARI INI
“Kita harap selepas selesai proses vaksinasi dilakukan, seluruh kawasan rumah kebajikan ini boleh diisytihar sebagai zon selamat,” katanya di sini, hari ini.
Beliau merakamkan ucapan terima kasih kepada semua petugas dari Pejabat Kesihatan Daerah kerana menjalankan tugas dengan profesional.
Katanya, proses suntikan juga berjalan lancar dan setakat ini tidak ada penghuni rumah kebajikan itu mengalami kesan sampingan selepas menerima suntikan mereka.