RUMAH MUSNAH DALAM KEBAKARAN RAYA PERTAMA
RUMAH MUSNAH DALAM KEBAKARAN RAYA PERTAMA
KUALA KANGSAR – Sebuah rumah di Kampung Sayong Tengah, di sini, musnah terbakar ketika umat Islam menyambut Hari Raya pertama petang semalam.
Kebakaran turut melibatkan sebuah rumah berhampiran, dua buah motosikal dan sebuah kereta jenis Perodua Kancil.
Seorang lelaki berusia 22 tahun pula melecur di bahagian belakang dan tangan.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, mereka menerima panggilan mengenai kebakaran itu pada 6.33 petang.
“Kebakaran melibatkab dua buah, rumah pertama jenis B musnah 80 peratus manakala rumah jenis kelas lima terbakar lima peratus.
“Turut terlibat sebuah kereta Perodua Kancil terbakar lima peratus dan dua buah motosikal EX5 terbakar 95 peratus,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Menurut jurucakap itu lagi, seramai 18 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kangsar dan Sungai Siput terlibat dalam operasi pemadaman.
Katanya, mereka menggunakan sumber air dari tangki jentera untuk memadamkan kebakaran.
Mangsa yang melecur dibawa ke Hospital Kuala Kangsar menggunakan Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) untuk rawatan lanjut, lapor suaraperak.
Operasi yang diketuai Penolong Kanan Penguasa Bomba Ahmad Izuwan Zakaria tamat pada 9.15 malam.