SIAPA SAYA MENIDAKKAN REZEKI ORANG
SIAPA SAYA MENIDAKKAN REZEKI ORANG
Kuala Lumpur: “Saya sentiasa terbuka dengan kehadiran artis baru dalam industri hiburan dengan mengikut cara yang betul. Saya pun dah lama dalam bidang ini dan bukan nak cari gaduh. Buat apa saya nak menidakkan rezeki mereka.”
Demikian kata penyanyi, Datuk Awie ketika diminta mengulas mengenai kenyataannya baru-baru ini mengenai artis YouTube yang didakwa sebagai ‘artis perompak’ kerana mereka tidak melalui proses yang betul untuk menjadi penyanyi sebenar.
Awie ketika ditemui di majlis Wings Raikan Cinta Ramadan di sebuah hotel di sini malam tadi, berkata, dia cuma meminta persatuan muzik menyelaraskan satu penilaian bagi menilai bakat-bakat baru ini sebelum mereka tampil sebagai artis.
“Contohnya, untuk jadi penyanyi perlu ada lagu sendiri dan album penuh,” katanya kepada Harian Metro.
Katanya, apabila mempunyai lagu sendiri, itu menjadi penanda aras untuk melabelkannya sebagai penyanyi.
“Bila ada lagu sendiri, mereka boleh buat persembahan dengan menyanyikan lagu mereka sendiri. Takkan setiap kali menyanyi nak menyampaikan lagu orang lain. Bila menyanyi lagu sendiri, dari situ kita boleh nampak potensi mereka dan menilai kemampuan mereka untuk menjadi penyanyi,” katanya, lapor mstar
Malam tadi, Wings muncul mempersembahkan lebih 10 lagu popular mereka di acara tahunan yang dianjurkan pada bulan Ramadan setiap tahun.
“Tahun lalu, kami tak anjurkan majlis ini. Jadi, tahun ini kami kembali dan sambutannya masih sangat menggalakkan,” katanya.