IBU TUNGGAL DAPAT BANTUAN GEREJA
IBU TUNGGAL DAPAT BANTUAN GEREJA
KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berkata pihaknya akan menyiasat dakwaan tiga ibu tunggal beragama Islam yang terpaksa memohon bantuan kewangan daripada gereja, susulan permohonan mereka ditolak oleh pusat zakat atau agensi berkaitan.
Zulkfili berkata, beliau akan membantu individu berkenaan sekiranya mengetahui mengenai perkara itu.
“Kalau saya tahu, saya akan bantu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Program Semarak Lailatul Qadar dan Ramah Mesra Bersama Pengetua Tahfiz dan Pondok Wilayah Persekutuan di Maahad Tahfiz al-Faridiyah, di Taman Sri Rampai di sini hari ini.
Semalam portal berita melaporkan tiga orang ibu tunggal terpaksa memohon bantuan daripada gereja sejak beberapa tahun lalu, selepas pihak institusi zakat dan agensi berkaitan menolak permohonan mereka.
Mengenai prosedur operasi standard (SOP) berkaitan ibadah haji dan umrah, beliau berkata SOP itu sudah dilengkapkan tetapi Arab Saudi masih belum membuat keputusan sama ada ibadah haji dan umrah dibenarkan pada musim ini.
“Kita doalah banyak-banyak kepada Allah agar wabak ini (COVID-19) pergi,” katanya.
Turut hadir pada majlis itu Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Datuk Mohd Ajib Ismail, lapor BH Online.
Pada majlis berkenaan 41 maahad tahfiz dan pondok berdaftar dengan JAWI menerima sumbangan barang keperluan asas makanan seperti beras, tepung, gula dan minyak masak.
Pogram Semarak Lailatul Qadar Wilayah Persekutuan yang julung kali diadakan pada tahun ini bertujuan merancakkan lagi amal ibadah pada 10 malam terakhir Ramadan dengan aktiviti dan pengisian kerohanian membabitkan 89 masjid di Wilayah Persekutuan.