KANAK-KANAK SAKIT GENETIK, KETUMBUHAN INGIN NAIK KERETA PERONDA POLIS
KANAK-KANAK SAKIT GENETIK, KETUMBUHAN INGIN NAIK KERETA PERONDA POLIS
MARAN : Awal kelahiran Mohd Aqil Aqmar Nordin adalah seperti bayi normal tetapi perubahan fizikal bermula di bahagian jari tangan dan kaki bayi itu mula membengkok ketika di usia bulan ketiga termasuk berlaku tulang mengeras dan usia 6 bulan kemudian berlaku perubahan seolah ketumbuhan di bahagian mulut.
Pasangan, Nordin Jasni, 39 dan Ros Asroini Muhammad, 39, apabila diuji oleh Allah memelihara anak bongsu yang kini berusia 4 tahun, yang menderita penyakit juvenile hyline fibromatosis disahkan oleh doktor Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Nordin berkata, pada awal kelahiran anak ketiga dari tiga beradik itu masih sempurna, tetapi kerap kali menangis dan menyangka merupakan tabiat bayi ketika lapar, buang air dan tidak selesa.
“Usia tiga bulan keadaan fizikal tangan, kaki termasuk kedua jari anggota berkenaan mulai membengkok dan tidak mampu menggenggam dan memasukkan jari ke mulut kebiasaan tabiat seorang bayi dan perubahan fizikal akibat penyakit ini berlarutan sehingga usia enam bulan apabila tulang belakang membengkok
“Kini tidak mampu meluruskan tangan, siku dan kakinya, malahan saya terkejut apabila ketumbuhan berlaku pada bahagian gusi dan mulutnya,” katanya di FELDA Hulu Jempol, dekat sini, semalan.
Nordin berkata, dia membawa anaknya mendapatkan untuk rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) Temerloh dan doktor di situ meminta anaknya dirujuk kepada pakar di HKL untuk mengesahkan penyakit serta membuat rawatan susulan.
Katanya, dia dan isteri amat sedih melihat keadaan anggota tubuh Mohd Aqil Aqmar semakin tidak sempurna manakala ketumbuhan semakin membesar di bahagian mulut selain cuping telinganya juga membesar dan anaknya tidak ceria dan gembira ketika saat-saat hendak menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.
“Dia cuma berbaring secara mengiring sepanjang masa kerana tulang belakangnya membengkok dan hanya minum susu menggunakan tiub yang dipasang ke perutnya selepas menerima rawatan di HKL.
“Anak ini sudah dua kali membuat pembedahan pembedahan di HKL, iaitu menebuk leher untuk saluran pernafasan dan perut (saluran makan) pada 19 September tahun lalu dan membuang ketumbuhan di mulut dan gusi pada 14 April baru-baru ini dan nampaknya dia agak selesa membuka mulut dan bercakap,” katanya.
Nordin berkata, anaknya kerap meminta ingin menaiki kereta peronda polis mengelilingi kawasan penempatan FELDA di situ walaupun sekejap kerana barangkali dia sudah meletakan cita-cita untuk menjadi anggota beruniform tersebut.
Dia dan isterinya berterima kasih kepada doktor Hosas Temerloh dan HKL kerana membantu merawat anaknya setiap bulan di samping motivasi menjaga keperluan kesihatan serta kebajikan semasa di rumah.
“Saya dan isteri reda dengan ujian Allah dan terus menjaga kesihatannya walaupun mengikut kata doktor pakar memang penyakit ini tiada peluang sembuh seperti keadaan dialami hari ini, malahan lebih teruk bakal ditempuh pada masa akan datang,” katanya.
Nordin berkata perbelanjaan peralatan kebersihan diri, makanan dan berulang alik ke HKL mencecah hampir RM900 sebulan sambil berharap kerajaan menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), agensi tertentu dan para dermawan dapat membantu Mohd Aqil Aqmar.
“Saya berterima kasih kepada Zakat Pahang kerana memberikan bantuan kewangan enam bulan sekali sebanyak RM1,000 dan sedikit selesa menyediakan keperluan kebajikan anak ini, namun masih belum mencukupi sekiranya tanpa bantuan pihak tertentu.
“Bekerja sebagai buruh binaan kadang-kadang tidak menentu cuma RM1,000 sebulan, mana mampu saya membiayai belanja kebajikan serta keperluan anak ini di samping barang keperluan dapur termasuk belum lagi berbelanja pakaian baharu dua orang anak bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi,” katanya.
Orang ramai dan para dermawan yang ingin beramal jariah boleh menghubungi Nordin Jasni menerusi talian 011-37455906 atau sumbangan terus akaun Bank Rakyat bernombor 220301411912 (Nordin).