MANGSA LORI TERJUNAM DI SUNGAI PERAI DITEMUI MATI
MANGSA LORI TERJUNAM DI SUNGAI PERAI DITEMUI MATI
SEBERANG PERAI – Seorang lelaki yang dilaporkan hilang selepas sebuah lori dipandunya terjunam ke dalam Sungai Perai di sini semalam ditemui mati hari ini.
Mayat mangsa, K. Palaniappan, 66, ditemui kira-kira pukul 11.20 pagi oleh pasukan mencari dan menyelamat di dalam sungai berkenaan di sekitar kawasan kejadian.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, pihaknya membuat pencarian di dalam kawasan radius satu kilometer dari tebing sungai berkenaan sebelum mayat mangsa ditemui.
“Mayat kemudiannya dibawa naik ke darat sebelum diserahkan kepada polis dan operasi ditamatkan pukul 11.36 pagi,” katanya kepada pemberita hari ini, lapor KOSMO! Online.
Terdahulu, mangsa dilaporkan hilang selepas lori 10 tan yang dipandunya terjunam ke dalam sungai tersebut semalam.
GAMBAR IHSAN MEDIA SOSIAL
Bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 7.10 malam sebelum bergegas ke lokasi.
Satu rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) dipercayai rakaman kejadian memaparkan seorang lelaki berjalan kaki menuju ke arah sebuah lori yang diparkir di tepi sungai.
Lelaki itu dilihat menaiki bahagian tempat duduk pemandu sebelum kenderaan terbabit meluncur ke hadapan dan menjunam ke dalam sungai.