PENGARAH APM PAHANG JAYAKAN PROJEK 777
PENGARAH APM PAHANG JAYAKAN PROJEK 777
KUANTAN : Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang, Kolonel (PA) Che Adam A Rahman mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi rakyat Malaysia dan juga penjawat awam pertama melaksanakan pendakian tujuh gunung di tujuh negeri dalam tempoh tujuh hari.
Cabaran Solo 7 Gunung 7 Negeri 7 Hari itu dijayakannya pada 1 hingga 7 April lalu bermula di Gunung Ledang, Johor ketinggian 1, 276 meter sebelum berakhir di Gunung Siku, Pahang dengan ketinggian 1,915 meter.
Kejayaan luar biasa anak jati Kampung Cabang Tiga, Kuala Terengganu itu menawan tujuh puncak gunung dalam tempoh tujuh hari itu mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBR).
Beliau berkata, projek dan cabaran solo yang dijayakannya itu ialah sebagai tanda terima kasih dan apresiasi khas kepada petugas barisan hadapan dalam negara di atas segala pengorbanan menangani penularan pandemik Covid-19.
Katanya, semua tujuh gunung yang ditawan diletakkan penanda penghargaan di puncak sebagai penghargaan tertinggi kepada semua wira barisan hadapan negara.
“Signifikan atau simbolik kita buat ini penghargaan ataupun aspreasi kepada semua petugas barisan hadapan seluruh Malaysia dalam menghadapi setahun pengurusan wabak covid-19.
“Jadi antara pengisian lain, sebelum sayaamendaki setiap gunung, saya juga sampaikan sumbangan daripada kerajaan negeri Pahang berupa hamper dan sijil penghargaan kepada petugas barisan hadapan di daerah tersebut,” katanya kepada pemberita selepas Penyampaian Sijil MBR oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail di sini,hari ini.
Beliau turut mendaki di Gunung Angsi, Negeri Sembilan (825 meter); Gunung Hitam, Selangor (1,220 meter) ; Gunung Kerunai, Perak (1,000 meter) ; Gunung Jerai, Kedah (1,175 meter) dan Gunung Sarut, Terengganu (1,229 meter).
Bagi menjayakan projek itu, beliau berkata, Gunung Jerai dan Gunung Sarut merupakan dua gunung yang memberi cabaran kepadanya kerana trek berjalan kaki yang panjang sehingga 16 kilometer yang mengambil masa 6 ke 7 jam perjalanan turun dan naik.