NEELOFA, PU AZMAN DAN CAPRICE BANTU KOMPAUN ABANG BURGER
NEELOFA, PU AZMAN DAN CAPRICE BANTU KOMPAUN ABANG BURGER
KOTA BHARU: Peniaga burger yang dikenakan kompaun RM50,000 kerana berniaga melebihi masa malam kelmarin, menerima panggilan daripada beberapa selebriti termasuk Neelofa, PU Azman dan Caprice yang mahu membantunya.
Norlaili Shafien, 37, isteri kepada peniaga burger, Wan Mohd Faisal Wan Kadir, 38, berkata peguam Neelofa menghubunginya pada jam 5.30 petang tadi yang memaklumkan selebriti itu mahu membayar jumlah kompaun yang dikenakan kepada mereka.
“Peguam berkenaan meminta saya menghubunginya kembali jika saya bersetuju untuk menerima tawaran itu.
“Kami berterima kasih kepada Neelofa kerana sudi membantu kami, namun buat masa ini saya dan suami mahu menunggu keputusan rayuan kompaun,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Selain Neelofa, Norlaili juga berkata, PU Azman juga turut menghubunginya pada jam 5 petang tadi.
“PU Azman juga mahu menghulurkan bantuan untuk membayar jumlah kompaun yang dikenakan kepada kami.
“Pada masa yang sama kami juga menerima panggilan daripada penyanyi rap, Caprice pada jam 10.30 malam tadi.
“Kami menghargai tawaran daripada selebriti yang mahu membantu menyelesaikan kompaun RM50,000 yang dikenakan kepada suami.
“Namun, buat masa sekarang saya dan suami berbincang untuk menunggu jumlah kompaun sebenar yang dikenakan kepada kami. Jika jumlah yang perlu dibayar terlalu banyak dan kami tidak mampu membayarnya, maka kami akan menerima tawaran itu,” katanya.
Selain tiga selebriti ini, Norlaili berkata, pihaknya juga menerima lebih 100 panggilan daripada orang ramai yang mahu membantu mereka.
Wan Mohd Faisal Wan Kadir, 38, yang dikenakan kompaun RM50,000 atas kesalahan berniaga lebih masa di hadapan rumahnya di Kampung Rambutan Rendang, di sini, pada jam 11.10 malam kelmarin, lapor BH ONLINE.
Beliau yang menjalankan perniagaan itu di hadapan rumahnya di Kampung Rambutan Rendang, di sini, memaklumkan dia didatangi beberapa anggota polis ketika sedang menyiapkan tempahan pelanggan jam 11.10 malam kelmarin.