HENTIKAN GANGGUAN SEKS DI SEKOLAH
HENTIKAN GANGGUAN SEKS DI SEKOLAH
KUALA LUMPUR: Sebuah badan bukan kerajaan (NGO), ENGENDER Consultancy menggesa Kementerian Pendidikan menangani isu berkaitan gangguan seksual dan melindungi kanak-kanak di sekolah.
NGO itu dalam kenyataan hari ini, berkata semua sekolah diminta untuk menerapkan dan menerbitkan prosedur menangani rungutan yang menyediakan penyelesaian segera dan adil terhadap aduan gangguan seksual.
“Ini perlu mengambil kira suara pelajar; apabila pelajar menimbulkan ketakutan atau kebimbangan, sekolah harus memberi perhatian dan bertindak balas bagi memastikan perlindungan dan kesejahteraan mereka (pelajar).
“Sekolah juga harus bertanggungjawab atas segala persekitaran permusuhan yang wujud, termasuk oleh kakitangannya sendiri. Gangguan berdasarkan gender di sekolah perlu dihentikan segera,” menurut kenyataan itu.
GAMBAR HIASAN
Kenyataan itu turut berkata, beberapa kejadian yang berlaku baru-baru ini seperti pemeriksaan haid di sekolah dan pelajar sekolah menengah mendakwa seorang guru membuat gurauan mengenai rogol semasa kelas pendidikan jasmani dan kesihatan.
Katanya, kejadian terbaharu itu menyebabkan pelajar terbabit menerima ugutan rogol daripada rakan sekelasnya, menunjukkan kelemahan sistemik terhadap sensitiviti gender di persekitaran sekolah.