CUBAAN TANAM MUSANG KING DALAM HUTAN SIMPAN GAGAL
CUBAAN TANAM MUSANG KING DALAM HUTAN SIMPAN GAGAL
RAUB – Pejabat Hutan Daerah (PHD) Raub bertindak tegas dengan memusnahkan tanaman pisang, durian Musang King dan Duri Hitam seluas lebih 16.2 hektar yang ditanam secara haram di Kompartmen Satu, Hutan Simpan Sempam, Mukim Tras, di sini.
Pegawai PHD Raub, Shahril Mohamad, berkata operasi musnah bermula 9 pagi semalam disertai 14 kakitangan dibantu Unit Tindakan Khas (UTK) Raub dan dua anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Katanya, siasatan mendapati kawasan berkenaan diteroka dengan tanaman pisang jenis berangan dan sematu berusia empat bulan sementara durian Musang King dan Duri Hitam pula berusia tiga bulan dalam kawasan seluas lebih 16.2 hektar.
Katanya, selain memusnahkan pokok yang ditanam pihaknya turut bertindak merobohkan pondok atau rumah kongsi sementara dibina, dipercayai tempat tinggal 10 hingga 15 pekerja ladang berkenaan yang bekerja dengan tiga individu.
“Ketika operasi dijalankan pihak kami tidak menemui pekerja dalam kawasan ladang berkenaan, dipercayai mereka terlebih dahulu bertindak meninggalkan tempat itu sebelum serbuan dilakukan.
“Operasi pemusnahan ladang haram yang bermula semalam dijangka mengambil masa selama empat hingga lima hari bergantung dengan keadaan cuaca yang tidak menentu kini,” katanya, dihubungi di sini, hari ini, lapor BH ONLINE
Beliau berkata, usaha memusnahkan tanaman yang ditanam secara haram itu mengambil masa panjang kerana mereka yang terbabit dalam operasi itu menggunakan parang untuk menebang lebih 5,300 pokok pisang (4,000) dan durian Musang King serta Duri Hitam (1,300).
Shahril berkata, bentuk muka bumi yang berbukit di kawasan Hutan Simpan Sempam turut menjadi faktor berlaku kelewatan operasi memusnahkan tanaman yang dilakukan secara berterusan.
Katanya, tiga individu dipercayai menjadi dalang meneroka kawasan berkenaan yang terletak di tengah Hutan Simpan Sempam, mereka seolah degil serta cuba mencabar kerajaan negeri dan pihak Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP).
“Sebahagian pokok pisang jenis berangan dan sematu sudah mengeluarkan hasil dan ia dipercayai dipasarkan di daerah ini.
“Kita tidak akan berkompromi dan bertolak ansur dengan individu yang bertindak menceroboh hutan simpan di daerah ini, tindakan tegas menanti mereka dibawah Akta Perhutanan Negara 1984.
“Kita akan terus berusaha mengesan kegiatan menceroboh hutan simpan di daerah ini, pelbagai cara akan digunakan bagi memastikan kesalahan itu dapat segera disekat,” katanya.