TIDAK PEKA BUNYI SIREN PUNCA KEMALANGAN VAN DAN AMBULANS
TIDAK PEKA BUNYI SIREN PUNCA KEMALANGAN VAN DAN AMBULANS
KUCHING: Kemalangan sebuah van dan ambulans di persimpangan lampu isyarat di Jalan Datuk Marican Salleh sekitar jam 9.40 pagi semalam dipercayai berpunca daripada pemandu van tidak peka dengan siren.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Superintenden Alexson Naga Chabu dalam kenyataan hari ini berkata pemandu van yang berusia 38 itu tidak menyedari kehadiran ambulans tersebut sebelum merempuh bahagian tepi sebelah kiri ambulans berkenaan.
Katanya, ketika kejadian, ambulans dari Klinik Kesihatan Tanah Putih itu dalam perjalanan menghala ke Jalan Kwong Lee Bank dengan membawa seorang pesakit wanita.
Ujarnya, siasatan awal mendapati punca kemalangan disebabkan pemandu van tidak peka dengan siren kecemasan ambulans yang melintasi jalan berkenaan.
Susulan insiden itu, pemandu van cedera ringan di kepala dan penumpang hadapan mengalami kecederaan parah.
Beliau berkata kedua-dua mangsa kemudian dihantar ke Unit Kecemasan Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk rawatan lanjut, lapor BH ONLINE.
Manakala pemandu, penumpang dan pesakit di dalam ambulans tidak mengalami kecederaan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.