GABUNGAN BESAR PARTI POLITIK TEPAT PADA MASANYA
GABUNGAN BESAR PARTI POLITIK TEPAT PADA MASANYA
SEREMBAN: Usaha kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk membangunkan gabungan besar parti politik itu di negara ini, disifatkan sebagai amat baik dan tepat pada masanya.
Yang Dipertua Dewan Negara, Dr Rais Yatim berkata, Malaysia memerlukan gagasan kuat untuk terus mara, justeru sebarang perkara yang mampu meneguhkan perjuangan terbabit adalah baik untuk negara dan rakyat.
“Saya melihat usaha itu (membangunkan gabungan besar parti politik) amat baik dan tepat pada masanya kerana apa-apa yang meneguhkan badan serta perjuangan adalah penting.
“Setiap pemimpin politik harus ada perasaan sayang kepada negara dan menjelmakan idea untuk menyatukan rakyat pelbagai kaum.
Katanya, sebagai contoh, BERSATU ada sayap bukan Bumiputera dan begitu juga PAS ada sayap bukan Islam. Maka, MIC dan MCA tidak perlu bimbang kerana ia suatu bentuk gagasan besar, lapor Berita Harian.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia (PPKM) Cawangan Seremban, di sini, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan PN bawah pimpinan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin, sedang membangunkan satu gabungan besar parti politik yang menyatukan rakyat dengan adil, saksama, inklusif dan harmoni dalam acuan politik baharu negara.
Pengerusi PN Pahang, Saifuddin Abdullah, dipetik sebagai berkata beliau yakin PN telah belajar daripada kelemahan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH), untuk keputusan gabungan dibuat berasaskan perundingan dan bukan dominasi satu parti.
Dalam pada itu, Rais meminta pemimpin yang berdepan kes undang-undang dan perbicaraan di mahkamah agar tidak mencampuradukkannya dengan perjuangan politik.
“Apa yang sedang dihadapi dalam bentuk dakwaan atau kes di mahkamah, jawablah di mahkamah, hadapilah kes di mahkamah dan selesaikan dulu. Politik biar berjalan atas landasan untuk kesejahteraan rakyat.
“Jika ada pelbagai syarat dikenakan, ini tidak adil kepada sistem kita,” katanya.
Ditanya mengenai harapan untuk melihat UMNO bekerjasama dengan BERSATU pula, beliau berkata, perkara itu terpulang kepada Presiden UMNO, Dr Ahmad Zahid Hamidi.
“Saya fikir Perdana Menteri bersifat kecil tapak tangan, nyiru beliau tadahkan.. kerajaan Sarawak juga memberi sokongan kepada PN, apa salah kalau ini (PN) diberikan dakapan baharu,” katanya.