NEELOFA, HARIS BULAN MADU DI LANGKAWI?
NEELOFA, HARIS BULAN MADU DI LANGKAWI?
PETALING JAYA – Ketika kisah perkahwinan mereka masih hangat diperkatakan, pasangan selebriti terkenal Neelofa dan Haris Ismail sekali lagi mengundang perhatian ramai selepas beberapa keping foto yang mendakwa mereka berbulan madu di Langkawi, Kedah tular dalam media sosial.
Dalam foto-foto berkenaan, kelihatan Neelofa dan Haris berada di sebuah lapangan terbang dan sedang menaiki sebuah penerbangan dipercayai menuju ke pulau peranginan terkenal tersebut.
Tangkap layar beberapa foto tular yang mendakwa pasangan tersebut berada di sebuah lapangan terbang sebelum berlepas dengan menaiki kapal terbang untuk berbulan madu ke Langkawi.
Rata-rata netizen menyuarakan ketidakpuashatian masing-masing dan mempersoalkan bagaimana pasangan yang baru berkahwin pada Sabtu lalu itu dibenarkan merentas negeri dan berbulan madu.
Bagaimanapun, di sebalik segala kecaman tersebut, ada juga yang berpendapat bekas pengacara MeleTOP dan suaminya itu menggunakan khidmat agensi pelancongan untuk merentas negeri.
GAMBAR IHSAN MEDIA SOSIAL
Hasil tinjauan KOSMO! Online tiada sebarang perkongsian dalam Instagram Neelofa dan Haris tentang dakwaan mereka sedang berbulan madu.
Untuk rekod, pasangan tersebut selamat diijabkabul pada Sabtu lalu dalam sebuah majlis tertutup di sebuah hotel terkemuka di ibu negara.
Sebelum ini, Majlis Keselamatan Negara (MKN) pernah mengumumkan penduduk dari negeri bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dibenarkan melancong namun menggunakan agensi pelancongan berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) berkuatkuasa 10 Mac lalu.
Bagaimanapun, kebenaran rentas negeri tersebut hanya dibenarkan di antara negeri kategori PKPP juga.
Berdasarkan laporan MKN hari ini, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Johor, Pulau Pinang, Kelantan dan Sarawak tertakluk sebagai enam negeri di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat.
Manakala, lapan lagi negeri iaitu Kedah, Sabah, Terengganu, Sabah, Perak, Perlis, Negeri Sembilan dan Melaka pula di bawah PKPP.
Hari ini, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah mengesahkan Neelofa akan dipanggil memberi keterangan esok berhubung pematuhan prosedur operasi standard (SOP) pada majlis pernikahannya, Sabtu lalu.
Terdahulu, tular satu gambar di media sosial mendakwa majlis perkahwinan selebriti itu tidak mematuhi SOP yang ditetapkan oleh MKN sehingga mendapat kecaman ramai.