MAYAT PERTAMA TRAGEDI SUNGAI PAHANG DITEMUI
MAYAT PERTAMA TRAGEDI SUNGAI PAHANG DITEMUI
TEMERLOH : Mayat pertama, Muhammad Naufal Farhan Mohd Azrul, 8 tahun dalam kejadian lemas petang semalam di Sungai Pahang di Kampung Loyang, Temerloh, ditemui pada 10.33 pagi tadi.
Ketua Zon Dua, Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, Mohd Sobree Mohamed Salleh berkata, mayat itu ditemui kira-kira 35 meter daripada dia dilaporkan lemas semalam selepas operasi mencari bersambung pagi ini.
“Kejadian ini berlaku petang semalam ketika kedua-dua mangsa bersama 3 ahli keluarga sedang mandi di sungai ini sebelum Naufal Farhan tiba-tiba menghadapi kesukaran akibat arus deras dalam air.
“Hakim Faqih cuba berenang untuk membantu menyelamatkan mangsa tetapi tidak berjaya dan dia turut dihanyutkan arus deras,” katanya.
Operasi mencari mayat kedua Mohd Hakim Faqih Norazmi,16 tahun yang merupakan bapa saudara kepada Naufal Farhan, masih diteruskan.
Seramai 15 anggota bomba, 10 anggota masing-masing daripada polis dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) itu.
Sementara itu, Norazmi Ibrahim yang merupakan bapa dan datuk mangsa berkata, Hakim Faqih merupakan seorang bapa saudara yang penyayang.
“Dia (Hakim Faqih) mudah mesra dengan anak saudaranya itu serta sangat rapat, kerap bersama melakukan pelbagai aktiviti dan melayan gelagatnya (Muhammad Naufal),”katanya
Mayat mangsa yang dijumpai dibawa ke Hospital Sultan Ahmad Shah (HOSHAS) Temerloh sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Raja, Temerloh.