KEGEMBIRAAN BERTUKAR TRAGEDI, DUA BERSAUDARA DIHANYUTKAN ARUS SUNGAI
KEGEMBIRAAN BERTUKAR TRAGEDI, DUA BERSAUDARA DIHANYUTKAN ARUS SUNGAI
TEMERLOH: Kegembiraan bermandi-manda di sungai bertukar tragedi apabila dua bersaudara dilaporkan hilang setelah dihanyutkan arus deras di Sungai Pahang di Kampung Loyang dekat Sanggang di sini kira-kira jam 4.50 petang, semalam.
Mangsa yang dihanyutkan arus deras, dikenali sebagai Mohd Hakim Faqih Norazmi, 16, dari Kampung Desa Murni dan Mohammad Naufal Farhan Mohd Azrul yang berusia lapan tahun dari Kampung Loyang Sanggang dekat sini.
Kedua-dua mangsa turut ditemani tiga yang lain dengan motosikal dari rumah Hakim Faqih di Desa Murni ke sungai untuk mandi-manda , kira-kira jam 4.15 petang.
Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Mohd Yusri Othman berkata, kedua-dua mangsa dan saudara mereka sedang mandi di sungai, tiba-tiba Naufal Farhan menghadapi kesukaran akibat arus deras di dalam air.
“Hakim Faqih cuba berenang ke arah Naufal dan menariknya tetapi tidak berjaya dan dia turut dihanyutkan arus deras.
“Beberapa penduduk kampung yang berada di tepi tebing sungai ketika itu terjun ke dalam air dan cuba mengesan mangsa tetapi gagal, ” katanya.
Katanya, operasi mencari dan menyelamat yang melibatkan anggota bomba, anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan anggota polis dijalankan sejurus menerima laporan, operasi dihentikan kira-kira jam 7.30 malam setelah cuaca gelap dan akan bersambung esok,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, siasatan menunjukkan bahawa yang turut menyertai dua mangsa lemas di sungai itu adalah kakak Hakim Faqih yang berusia 19 tahun, kakak Naufal Farhan yang berusia 10 tahun dan bapa saudara mereka yang berusia 36 tahun
Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) mengatakan enam anggota Pasukan Penyelamat Air (PPDA) turut membantu SAR di tempat kejadian bersama penduduk kampung dengan menggunakan tiga bot dan pencarian mangsa gagal ditemui.