AZMIN TIDAK WAJAR DEDAH RAHSIA UMNO, BERSATU
AZMIN TIDAK WAJAR DEDAH RAHSIA UMNO, BERSATU
ISKANDAR PUTERI – Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Mohamed Azmin Ali tidak sewajarnya mendedahkan rancangan pembahagian 13 kerusi Parlimen antara UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Naib Presiden UMNO, Mahdzir Khalid berkata, sepatutnya hal dalaman UMNO dan BERSATU perlu dirahsiakan terlebih dahulu sehingga perbincangan selesai dan kata putus dicapai kedua-dua parti.
“(Setakat ini) tiada bincang lagi, kalu nak bincang (perlu secara) dalaman, dia sama dia. Kalu nak bincang, biar kita (UMNO dan BERSATU) bincang dahulu, tak payah cerita kat orang,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB) berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Program Ceria Sekolah di Restoran Seri Pantai dekat sini pada Ahad.
MAHDZIR KHALID
Hadir sama, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor yang juga Menteri Besar Johor, Ir Hasni Mohammad.
Sinar Ahad dalam temuramah eksklusif bersama Azmin mendakwa, pembahagian kerusi Parlimen merupakan antara yang menjadi punca keretakan dalam kerjasama antara kedua-dua parti tersebut, lapor Sinar Harian.
Menurut Mohamed Azmin, UMNO tidak seharusnya memusnahkan kerajaan yang dibina bersama-sama sejak setahun lalu hanya kerana 13 kerusi yang menjadi pertikaian.
Mohamed Azmin yang juga Ahli Majlis Tertinggi BERSATU berkata, pihaknya sudah mempunyai formula pembahagian kerusi contohnya di Parlimen Pagoh yang dimenangi BERSATU perlu kekal ditandingi parti itu.
Sementara itu, ditanya mengenai keperluan untuk menggubal Akta Lompat Parti bagi mengekang ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berbuat demikian, beliau berpandangan, perkara tersebut tidak perlu dan terpulang kepada wakil rakyat membuat keputusan.
“Ini satu keadaan yang saya nampak ada kegusaran dalam dalam kalangan rakyat yang melihat. Sewajarnya ada satu bentuk tindakan lain (yang menghalang lompat parti).
“Bila tiap-tiap kali ada musim atau krisis (politik) macam ini, ada orang lompat parti. Tapi ada orang yang berpandangan, ini tidak ada masalah. Mungkin waktu itu orang itu (wakil rakyat) daripada pembangkang suka kepada kerajaan… pandangan ini turut dikongsi masyarakat,” katanya.
Namun katanya, bagi ahli perniagaan dan pelabur asing melihat keadaan itu daripada sudut yang negatif.