ANWAR PERTIKAI KADAR KOMPAUN RM10,000
ANWAR PERTIKAI KADAR KOMPAUN RM10,000
SHAH ALAM – Keputusan kerajaan menaikkan kadar denda kepada RM10,000 bagi mereka yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) merupakan satu langkah yang tidak wajar.
Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tindakan tersebut menunjukkan sikap tidak peka kerajaan terhadap kesusahan rakyat sekiranya dikenakan kepada mereka yang secara tidak sengaja melanggar SOP.
Menurut beliau, Ketua Polis Negara memaklumkan, seramai 330 individu telah dikenakan kompaun sebanyak RM10,000 kerana didakwa melanggar SOP dalam tempoh 24 jam.
“Ini secara tidak langsung wujudnya hukuman pilih kasih kerana terdapat segelintir orang-orang besar, ahli politik serta pegawai kerajaan yang secara terang-terangan melanggar SOP tetapi tidak diambil tindakan.
“Ini juga bukti nyata bahawa kerajaan ini mengamalkan sikap antara dua darjat dalam menguatkuasakan peraturan tatkala rakyat terus dimangsakan secara berterusan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Sabtu.
Sementara itu, Anwar berkata, kerajaan harus lebih peka dengan nasib dan kesusahan rakyat apabila ramai yang telah kehilangan pekerjaan serta hilang punca pendapatan.
“Kadar denda yang tidak munasabah itu menyerlahkan kecenderungan yang autokratik kerajaan Perikatan Nasional (PN) sejak merampas kuasa tahun lalu melalui rencana yang jelek dan hina.
“Pernahkah kerajaan ini fikirkan apakah rakyat mampu untuk membayar denda sejumlah RM10,000 sekiranya RM1,000 itu pun mereka tidak mampu?
“Bagaimana mungkin kita benarkan rakyat Malaysia yang miskin yang sudah pun dibebankan dengan kepayahan yang dahsyat, dikurung di penjara kerana tidak mampu membayar denda? Negara jenis apakah yang mahu kita bangunkan ini?,” ujarnya.
GAMBAR HIASAN
Anwar turut mempersoalkan kesediaan kerajaan untuk mendengar rintihan rakyat atau terus menyalahgunakan Pengisytiharan Darurat.
Pada Jumaat, orang awam yang melanggar SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dikenakan kompaun RM10,000, lapor Sinar Harian.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, ia susulan Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021 yang diwartakan mulai jam 12.01 tengah malam Jumaat.