DUA MOTOSIKAL UBAH SUAI EKZOS DISITA
DUA MOTOSIKAL UBAH SUAI EKZOS DISITA
BENTONG: Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Polis DiRaja Malaysia (PDRM) Daerah Bentong telah menyita 2 buah motosikal atas kesalahan mengubah suai ekzos serta mengeluarkan 14 saman pelbagai kesalahan lazim.
Kesalahan lazim seperti tiada lesen memandu, nombor plat tidak mengikut peraturan, LKM tamat tempoh, tiada cermin sisi dan ubah suai kenderaan telah dikeluarkan sekitar kawasan Bandar Bentong dalam Ops Khas Kesalahan Bunyi Bising bermula 1 Mac 2021 lalu.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superitenden Zaiham Mohd Kahar berkata, pemilik kenderaan yang membuat pengubahsuaian ekzos agar memasang semula ekzos asal kerana pengubahsuaian yang dilakukan mengeluarkan bunyi bising sekaligus mengganggu ketenteraman awam.
“Operasi Khas ini adalah bagi memeriksa kenderaan yang telah melakukan pengubahsuaian ekzos dan tindakan sita dilakukan di bawah Seksyen 64 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 Kuasa-Kuasa Menyita Kenderaan Bermotor sehingga diperlukan bagi tujuan mengelak kesalahan tersebut berterusan (Kesalahan pengubahsuaian ekzos).
“Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Bentong yang diketuai oleh Asisten Superintenden Zulkifli Yahya telah melakukan pemeriksaan sebanyak 13 buah motosikal serta menyita 2 buah motosikal atas kesalahan itu,” katanya..
Beliau menegaskan bahawa individu yang didapati bersalah membuat pengubahsuaian ekzos sehingga mengganggu ketenteraman awam boleh dikenakan denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara 6 bulan di bawah Kaedah 103 iaitu di bawah Kaedah-kaedah Kenderaan Bermotor (Pembinaan dan Penggunaan) 1959 (LN170/1959).
“Kenderaan yang disita akan diserahkan semula kepada tuan punya setelah tindakan menggantikan kepada ekzos asal dilakukan, operasi ini akan terus diadakan,” katanya.