SUAMI ISTERI MAUT, DUA ANAK CEDERA KEMALANGAN
SUAMI ISTERI MAUT, DUA ANAK CEDERA KEMALANGAN
Kajang: Suami isteri meninggal dunia, manakala dua anak mereka cedera selepas terbabit dalam kemalangan di hadapan sebuah pasar raya di Lebuhraya Cheras-Kajang di sini, hari ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 3.59 petang tadi.
“Seramai enam anggota bersama satu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kajang dikejarkan ke lokasi, dan mendapati berlaku kemalangan antara van serta sebuah kereta Perodua Bezza.
“Terdapat empat individu di dalam kereta iaitu sepasang suami isteri serta dua anak mereka masing-masing berusia tujuh dan 14 tahun,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor HM online.
Katanya, anggota membantu mengeluarkan suami isteri berkenaan yang disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pasukan perubatan.
“Mayat mereka kemudian dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Kajang untuk bedah siasat.
“Dua anak mereka yang cedera turut dihantar ke hospital sama untuk rawatan,” katanya.
Katanya, pemandu van tidak cedera.
Gambar: Media sosial