WANG IHSAN BANJIR SELESAI MINGGU DEPAN
WANG IHSAN BANJIR SELESAI MINGGU DEPAN
MARAN : Penyerahan bantuan wang ihsan kepada 18,726 ketua isi rumah (KIR) di seluruh negeri Pahang yang terjejas banjir Januari lalu, dijangka selesai pada hujung minggu depan.
Secara keseluruhan, sebanyak RM9.4 juta diperuntukkan dengan setiap KIR menerima RM500.
Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin berkata, setiap daerah ketika ini sedang giat mengagihkan bantuan wang ihsan kepada setiap KIR.
Beliau berkata, terdapat beberapa sesi pengagihan bantuan wang ihsan tersebut memandangkan perlu mengikuti Prosedur Operasi Standard (SOP) yang digariskan bagi membendung jangkitan wabak Covid-19.
“Untuk seluruh negeri Pahang, sebenarnya kita bagi tempoh dua minggu untuk kita selesaikan sumbangan wang ihsan kerajaan negeri ini yang membabitkan 18,726 keluarga.
“Sekarang ni tengah giat dijalankan di semua daerah dan kita jangka hujung minggu depan akan selesai semua,” katanya selepas Majlis Penyerahan Wang Ihsan Banjir di Kampung Jara, di sini, hari ini.
Beliau yang juga ADUN Kuala Sentul berkata, di Maran sebanyak RM1.4 juta diperuntukkan kepada 2,560 KIR yang terjejas banjir dan dijangka berakhir Selasa ini.
“Di Maran sebanyak 13 sesi penyerahan wang bantuan tersebut memandangkan perlu mengikuti SOP yang ditetapkan.
“Pada Selasa ini kemuncak sesi penyerahan wang ihsan banjir di Maran, Menteri Besar Pahang sendiri dijangka akan menyerahkan peruntukan tersebut kepada penduduk bertempat di Dewan Komuniti Kampung Jara,” katanya.