JPJ KELUAR NOTIS KEPADA PEMILIK MOTOSIKAL
JPJ KELUAR NOTIS KEPADA PEMILIK MOTOSIKAL
KOTA BHARU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sudah mengeluarkan notis kepada pemilik motosikal yang tular seorang pelajar membonceng motosikal, tanpa memakai topi keledar dan baju sekolah dengan tulisan menghina guru.
Pengarah JPJ Kelantan, Hanif Yusabra Yusuf, berkata pihaknya mengeluarkan notis temu siasat mengikut seksyen 114 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kepada pemilik kenderaan itu.
Katanya, menunggang dan membonceng motosikal tanpa memakai topi keledar satu kesalahan yang boleh didakwa mengikut kaedah 4 Kaedah-Kaedah Motosikal (Topi Keledar) 1973.
“Bagi kesalahan mempamerkan nombor pendaftaran tidak mengikuti spesifikasi yang ditetapkan juga boleh diambil tindakan mengikut kaedah 6 Kaedah- Kaedah Kenderaan Bermotor (Pendaftaran dan Pelesenan) 1959.
“Sabit kesalahan boleh dihukum mengikut seksyen 119(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa denda tidak melebihi RM2,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Hanif Yusabra berkata, pihaknya memandang serius isu keselamatan jalan raya dan menasihatkan supaya ibu bapa memantau aktiviti anak-anak, supaya tidak terbabit dengan aktiviti tidak sihat, lapor BH Online.
“Kami juga ingin menasihatkan kepada masyarakat supaya mematuhi undang-undang lalu lintas, supaya tidak membahayakan diri sendiri dan juga pengguna jalan raya yang lain,” katanya.