GENAP 7 TAHUN MISTERI MH370
GENAP 7 TAHUN MISTERI MH370
IPOH: Acap kali apabila tiba 8 Mac, ada sekelumit perasaan ingin tahu tercetus dalam kalangan waris penumpang dan anak kapal penerbangan Malaysia Airlines MH370.
Mereka tertanya-tanya apa sebenarnya terjadi ke atas pesawat itu tujuh tahun lalu dan terus berdoa agar keajaiban muncul satu hari nanti.
Ada juga yang sudah tidak mahu mengingatinya dan hanya berserah kepada Tuhan serta pihak berkuasa dalam merungkai misteri paling pelik dalam sejarah penerbangan dunia itu.
Maira Elizabeth Nari, anak perempuan ketua pramugara pesawat itu, Andrew Nari berkata, tiada apa yang boleh dilakukan dan kehidupan perlu diteruskan walaupun tahun demi tahun sejak kehilangan pesawat itu silih berganti, tanpa sebarang jawapan bagi merungkai misteri kehilangannya.
“Sudah bertahun berlalu, cepat sungguh tujuh tahun. Perasaannya sama seperti keadaan tujuh tahun lalu ketika saya berumur 17 tahun. Tetapi tiada apa yang boleh kita lakukan, hanya teruskan sahaja kehidupan, kami baik-baik sahaja, setiap tahun sama,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, adik ipar kepada Ketua Pramugari MH370, Goh Sock Lay yang enggan dikenali, ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tawas di sini, baru-baru ini, berkata mereka enggan mengingati peristiwa itu lagi.
“Kami sudah tidak mahu ingat lagi peristiwa (tragedi MH370). Hal sudah lama, kami sekeluarga sudah lupa. Apa mahu cerita lagi,” katanya.
Beliau berkata, suami Goh Sock Lay kini bekerja di sebuah kilang sarung tangan di Seremban dan sudah agak lama tidak pulang ke kampung halaman, hanya berhubung dengan mereka sekeluarga menerusi panggilan telefon untuk bertanya khabar.
Lelaki berkenaan berkata, mereka sekeluarga menyerahkan sepenuhnya kes itu kepada Kerajaan Malaysia dan mereka tidak mempunyai hak untuk mencampuri misi pencarian penerbangan MH370.
Sementara itu, wakil keluarga kepada seorang penumpang MH370, Tan Ah Meng ketika ditemui di Kampung Kanthan, Chemor di sini, turut mengakui sudah melupakan peristiwa itu.
“Kami sekeluarga sudah lupa kejadian itu, tidak ada apa mahu cakap,” katanya sambil menambah, kedua-dua ibu bapa Tan Ah Meng sudah meninggal dunia beberapa tahun lalu.
Sementara itu, seorang pakar penerbangan, Prof Dr Mohd Harridon Mohamed Suffian, berkata tiada petunjuk baharu mengenai kehilangan pesawat itu setakat ini dan keadaan itu kemungkinan menggusarkan ramai pihak.
Namun juruterbang ujian Universiti Kuala Lumpur (UniKL) itu berkata, ada beberapa kes rujukan, yang menyaksikan bangkai kapal terbang dijumpai selepas hilang beberapa tahun dan tiada salahnya jika ada pihak ingin meneruskan usaha mencari pesawat Boeing 777 itu.
“Contohnya ialah bangkai kapal terbang Piper dijumpai di Michigan Amerika Syarikat selepas 21 tahun manakala bangkai kapal terbang Learjat dijumpai di New Hampshire, Amerika Syarikat selepas tiga tahun.
“Dalam kes-kes ini, usaha pencarian dilakukan secara besar-besaran dan terperinci, namun kesan kemalangan udara tidak dijumpai sehingga selepas beberapa tahun kemudian. Ini menunjukkan harapan masih ada jika ada pihak berhasrat meneruskan usaha pencarian,” katanya.
Esok genap tujuh tahun pesawat Malaysia Airlines, penerbangan MH370 hilang daripada imbasan radar ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing, China dan keluarga 239 penumpang dan anak kapal pesawat itu masih menanti pengakhiran episod tragis terbabit.
Kementerian Pengangkutan sebelum ini dilaporkan belum memutuskan sama ada akan melancarkan semula pencarian MH370 atau tidak, kerana setakat ini tiada sebarang bukti baharu mengenainya ditemui untuk menggerakkan semula pencarian.
Sumber Kementerian Pengangkutan memberitahu Bernama, kerajaan akan membuat satu pengumuman penting berkaitan tragedi itu dalam masa terdekat.