KELUARGA PATAH BALIK, AMBIL KANAK-KANAK TERTINGGAL
KELUARGA PATAH BALIK, AMBIL KANAK-KANAK TERTINGGAL
KOTA TINGGI – Kanak-kanak lelaki yang tertinggal di sebuah stesen minyak di Batu 2, Jalan Mawai-Kota Tinggi di sini petang tadi sudah diambil keluarganya.
Keluarga mangsa yang menyedari ketiadaan Mohd. Rizki Izaki Nazri, 8, berpatah balik ke stesen minyak itu sebelum dimaklumkan kanak-kanak itu berada di Balai Polis Kota Tinggi.
Kanak-kanak itu kembali ke pangkuan keluarga kira-kira pukul 6 petang.
Terdahulu, dalam kejadian pada pukul 4 petang itu, kanak-kanak terbabit bersama abangnya turun dari kenderaan untuk ke tandas ketika keluarganya berhenti di stesen minyak berkenaan.
Menurut sumber, keluarga kanak-kanak terbabit dalam perjalanan pulang dari Mersing selepas bercuti menuju ke Gelang Patah, Iskandar Puteri.
“Dia bersama abangnya turun untuk ke tandas selepas keluar dari tandas kanak-kanak itu mendapati abang serta keluarganya sudah tiada.
“Pekerja stesen minyak menyedari kelibat kanak-kanak itu terus menghubungi polis sebelum mangsa dibawa ke Balai Polis Kota Tinggi,”katanya ketika dihubungi di sini hari ini, lapor KOSMO.
Sumber itu berkata, berdasarkan keterangan, mangsa memberitahu keluarganya menaiki sebuah van berwarna putih dalam perjalanan untuk pulang ke Taman Nusa Perintis, Gelang Patah.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussain Zamora mengesahkan kejadian itu.