AWANG RASAU MATI
AWANG RASAU MATI
KUALA LUMPUR: Seekor Harimau Malaya mati hari ini di Hospital Veterinar, Universiti Putra Malaysia (UPM) akibat komplikasi saraf, kegagalan sistem perkumuhan dan jangkitan kuman pada luka di kaki belakangnya.
Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia memaklumkan, harimau jantan yang dinamakan Awang Rasau itu sebelum ini, menderita kesakitan akibat kecederaan terkena lapan butir peluru yang ditembak pemburu haram.
Kematian haiwan itu dilaporkan pada jam 12 tengah hari tadi.
“Selepas kesihatan Awang Rasau semakin merosot pada 3 Mac lalu, PERHILITAN sedaya upaya menyelamatkan Awang Rasau ini dengan mendapatkan rawatan susulan serta nasihat doktor pakar, di Hospital Veterinar UPM pada 4 Mac.
GAMBAR IHSAN PERHILITAN
“Bagaimanapun, Awang Rasau masih tidak dapat diselamatkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
PERHILITAN berkata, peluru yang ditembak ke arah harimau itu sebelum ini mengenai paru-paru dan sistem saraf haiwan itu, lapor BH Online.
“Ia menyebabkan harimau itu lumpuh separuh badan dan hanya boleh bergerak menggunakan kaki hadapannya saja.
“Luka kaki belakangnya akibat seretan juga amat serius,” katanya.
Harimau Malaya itu ditangkap PERHILITAN melalui tembakan ubat pelali pada 22 Februari lalu di Ladang FELDA Kerteh 2, Kemaman, Terengganu, selepas menerima aduan penduduk berhubung gangguan harimau yang menyerang ternakan sekitar ladang, sejak November tahun lalu.
GAMBAR IHSAN PERHILITAN
Haiwan itu ditemukan cedera dengan tiga kesan tembakan pada bahagian kaki belakangnya dan kemudian dipindahkan ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan, untuk rawatan susulan dan pemantauan lanjut.