WANITA SARAT MENGANDUNG ANTARA MANGSA DISELAMATKAN
WANITA SARAT MENGANDUNG ANTARA MANGSA DISELAMATKAN
KANOWIT: Seorang wanita hamil antara lima mangsa yang terselamat dalam kejadian bot karam dilaporkan berlaku di Sungai Rajang berhampiram Pekan Kanowit, petang semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kanowit Arrahman Chik berkata, dalam kejadian jam 4.52 petang itu, semua mangsa diselamatkan orang awam menggunakan bot persendirian sebelum ketibaan pihak bomba.
“Seorang mangsa wanita yang sarat mengandung dalam keadaan sukar bernafas. Pihak bomba yang tiba di lokasi kejadian segera mengangkat mangsa menggunakan pengusung naik ke darat sebelum dia diserahkan kepada pihak ambulans Kanowit untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor Harian Metro.
Menurutnya, kejadian berlaku ketika semua mangsa hendak pulang dari Pekan Kanowit ke rumah panjang mereka di Sungai Poi, yang memakan masa kira-kira sejam perjalanan menggunakan bot.
Katanya, semua mangsa terdiri daripada seorang lelaki dan empat wanita berusia antara 14 hingga 74 tahun.
“Menurut saksi kejadian, bot mangsa karam ketika ingin keluar dari muara sungai Kanowit kerana terkena ombak sebuah bot penambang,” katanya.