PENDIRIAN BERSATU DITENTUKAN PETANG INI
PENDIRIAN BERSATU DITENTUKAN PETANG INI
KUALA LUMPUR: Pendirian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) berhubung keputusan UMNO menolak kerjasama dengan parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), akan ditentukan dalam mesyuarat petang ini.
Setiausaha Agung BERSATU, Hamzah Zainudin, berkata ia susulan keputusan dicapai pada mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO di Janda Baik, Pahang, 19 Februari lalu.
Katanya, mesyuarat Biro Politik BERSATU, semalam, membincangkan mengenai surat Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, kepada Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang bertarikh 26 Februari lalu bagi memaklumkan perkara berkenaan.
Beliau berkata, Biro Politik juga mengambil maklum keputusan MKT UMNO bahawa kebersamaan dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) boleh diteruskan hingga pembubaran Parlimen.
“Sehubungan itu, Biro politik mengambil ketetapan bahawa pendirian BERSATU akan diputuskan pada mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi BERSATU, petang ini.
“Pendirian itu juga bakal dibincangkan pada mesyuarat Majlis Tertinggi PN akan datang bersama parti komponen lain, iaitu PAS, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Progresif Sabah (SAPP) dan GERAKAN,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini, lapor BH Online.
HAMZAH ZAINUDIN
Spekulasi mengenai keputusan MKT UMNO itu turut dikongsikan bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Annuar Musa, dalam laman media sosialnya, semalam.
Sebelum ini, UMNO turut memutuskan untuk menolak kerjasama dengan Presiden PKR, Anwar Ibrahim, dan DAP.