YADIM AGIH LEBIH RM1 JUTA BANTU MASYARAKAT MEMERLUKAN
YADIM AGIH LEBIH RM1 JUTA BANTU MASYARAKAT MEMERLUKAN
KUANTAN : Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) mengagihkan lebih RM 1 juta kepada lebih 200,000 rakyat yang terjejas akibat Covid-19 sejak Oktober tahun lalu.
Sumbangan hasil daripada Tabung Infaq Dakwah YADIM bagi meringankan bebanan yang ditanggung mereka ketika negara bergelut dengan wabak yang membawa maut itu.
Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Nasruddin Hassan berkata, sumbangan tersebut merupakan jumlah terkumpul yang diinfakkan orang ramai kepada Tabung Infaq Dakwah YADIM tahun lalu.
Beliau berkata, sumbangan tersebut akan diteruskan bagi meringankan mereka yang memerlukan.
“Daripada sekitar Oktober tahun lalu sampai sekarang untuk kategori Musaadah sahaja iaitu sumbangan meringankan beban ketika pandemik Covid-19 melanda negara, YADIM sudah membelanjakan lebih RM 1 juta.
“Mereka yang ingin berinfak boleh layari www.yadim.com.my dan klik sumbangan dana ATAU menerusi akaun Maybank, 566010625428 atas nama Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia.
“Walaupun RM1 mereka boleh berinfaq dan kami akan meneruskan bantuan ini,” katanya kepada pemberita selepas Program YADIM Peduli : Sumbangan Sempena Tahun Baru Cina dan Back to School Back di Gambang, di sini, hari ini.
Seramai 50 orang masyarakat Tiong Hua di Gambang masing-masing menerima kit makanan bernilai RM50, beg sekolah dan alat tulis untuk pelajar.
Katanya, sumbangan tersebut mempamerkan bahawa YADIM membawa risalah Islam yang sederhana tanpa mengira agama dan bangsa.