TREN CARGO TERGELINCIR
TREN CARGO TERGELINCIR
SHAH ALAM: Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) mengesahkan sebuah tren kargo dengan muatan tergelincir berhampiran Stesen Batu Tiga dekat sini, pagi tadi.
Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa yang membabitkan kakitangan mahupun orang awam dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu.
Ketua Pegawai Eksekutif KTM, Mohd Rani Hisham Samsudin, berkata kejadian itu menyebabkan kedua-dua landasan berdekatan Stesen Batu Tiga terhalang sepenuhnya.
Katanya, tren yang dalam perjalanan dari Padang Besar, Perlis menuju ke West Port, Klang tergelincir ketika melalui landasan di KM20.041.
“Sebelas daripada 50 gerabak tergelincir, manakala 39 gerabak lagi dengan lokomotif tren itu masih berada di atas landasan.
“Perkhidmatan KTM Komuter yang melalui laluan itu tidak dapat beroperasi ekoran insiden itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohd Rani berkata, perkhidmatan komuter bagi laluan Pelabuhan Klang dan Tanjung Malim akan ditamatkan di Stesen Subang Jaya dan Shah Alam, lapor BH Online.
“KTMB sedang giat mengalihkan gerabak ke lokasi yang lebih selamat bagi membolehkan kerja-kerja membaiki landasan dilakukan serta-merta.
“Siasatan insiden itu juga dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian,” katanya.
Beliau berkata, KTMB menyediakan bas perantara kepada penumpang dari Stesen Subang Jaya ke Stesen Shah Alam dan sebaliknya bagi meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing.