RATUSAN PELAJAR DICULIK DI NIGERIA
RATUSAN PELAJAR DICULIK DI NIGERIA
KANO: Ratusan pelajar perempuan dilaporkan hilang, disyaki diculik perompak bersenjata di asrama sekolah dekat Zamfara di barat laut Nigeria, kata seorang guru dan ibu bapa kepada AFP hari ini.
Kes itu diklasifikasikan sebagai penculikan secara besar-besaran terbaru yang berlaku di wilayah bermasalah itu.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kumpulan penjenayah bersenjata di barat laut dan kawasan tengah Nigeria meningkatkan serangan terutama penculikan bagi tebusan, memperkosa dan merampas harta benda.
“Lebih 300 pelajar perempuan disahkan hilang selepas sekolah melakukan kiraan baki pelajar yang ada,” kata seorang guru di Sekolah Menengah Kerajaan Perempuan Jangebe, yang tidak mahu identitinya didedahkan.
GAMBAR IHSAN AFP
Sementara itu, bapa salah seorang pelajar, Sadi Kawaye, memberitahu AFP bahawa mereka dimaklumkan menerusi telefon mengenai penculikan berkenaan.
“Saya sedang menuju ke Jangebe selepas mendapat panggilan telefon menyatakan sekolah diceroboh oleh perompak yang bertindak menculik pelajar. Saya mempunyai dua orang anak perempuan yang bersekolah di situ,” katanya.
Bagaimanapun, setakat ini polis belum mengesahkan kejadian terbabit.
Minggu lalu, 42 individu diculik kumpulan bersenjata dari sekolah berdekatan negeri Niger.
Selain itu, lebih 300 murid lelaki diculik dari sekolah pada Disember di Kankara iaitu negeri kelahiran Presiden Nigeria, Muhammadu Bukhari, ketika beliau melakukan kunjungan ke wilayah itu.
Bagaimanapun, kesemua murid lelaki berkenaan dibebaskan selepas rundingan dengan jurucakap kerajaan, namun kejadian itu mencetuskan kemarahan pada peringkat global.