KERAJAAN PAHANG, PWEB BANTU PENGHIDAP KANSER
KUANTAN: Kerajaan Pahang dengan kerjasama Pertubuhan Wanita Evolusi Baru (PWEB) melancarkan Gold Ribbon Campaign di sini, petang Ahad lalu.
Kempen kesedaran kanser kanak-kanak itu adalah inisiatif Pengerusi PWEB, Mazlina Manshor dan mendapat sokongan penuh Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin.
Melalui kempen itu, orang ramai didedahkan dengan pelbagai jenis penyakit unik dan kanser yang mudah dihidapi kanak-kanak.
Shahaniza ketika ditemui selepas majlis perasmian itu berkata, terdapat kemungkinan 2 daripada 600 kanak-kanak dilahirkan berpotensi menghidap penyakit unik seperti autisme dan penyakit kanser.
“Usaha PWEB ini sangat kerajaan Pahang sokong kerana ia membawa mesej kesedaran kepada orang ramai mengenai risiko penyakit seperti autisme dan kanser dalam kalangan kanak-kanak… kerajaan Pahang memang ada menyalurkan bantuan dan dana kepada PWEB untuk mereka melaksanakan aktiviti seperti ini.
“Selain itu, kita juga ingin membuang stigma atau pandangan orang awam bahawa autisme ini bukanlah kekurangan kepada kanak-kanak, sebaliknya ia adalah satu kelebihan yang perlu diraikan,” katanya.
Sementara itu, Mazlina berkata, seramai 23 kanak-kanak penghidap kanser berasal dari Pahang diraikan pada majlis berkenaan.
“Ada antaranya sedang dirawat di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) dan PWEB sangat berterima kasih kepada ibu bapa mereka yang sudi meluangkan masa menerima jemputan kami,” katanya.