ISTERI CEMBURU TEMBAK GADIS PENEMAN
ISTERI CEMBURU TEMBAK GADIS PENEMAN
BRAZIL: Akibat cemburu buta, seorang wanita nekad menembak mati gadis peneman yang duduk di sebelah suaminya dalam kejadian di sebuah bar di Tiangua, minggu lalu.
Kejadian mengejutkan itu dilihat menerusi sebuah rakaman video yang menunjukkan wanita terbabit, Dayane Rafaella de Silva Rodrigues, 31, meluru masuk ke bar berkenaan, lapor Daily Mail.
Media itu melaporkan, Rodrigues terus melepaskan beberapa das tembakan ke arah suami dan rakan-rakannya yang sedang duduk termasuk mangsa Djaiane Batista Barro, 26.
Wanita itu dikatakan tiba dengan membonceng motosikal individu lain dan kelihatan masuk ke bar sambil membawa beg tangan. Tembakan itu turut terkena seorang pemuda berusia 24 tahun yang kemudiannya dibawa ke hospital untuk rawatan.
Selepas insiden itu, rakaman video keselamatan menunjukkan suaminya bergelut dengan wanita terbabit dan cuba merampas pistol dari genggamannya.
Express Digest melaporkan, Barro maut serta merta apabila tembakan itu terkena di kepalanya.
Rodrigues ditahan polis selepas itu dan pihak berkuasa memaklumkan dia melakukan tindakan berkenaan kerana terlalu marahkan suami apabila melepak di bar yang sering dihadiri gadis peneman.
Wanita itu memberitahu polis, dia melepaskan tembakan itu secara rambang untuk menyuraikan kumpulan yang melepak bersama suami di meja itu selain mengakui tidak mengenali mangsa.