MOHON KPM KELUARKAN SURAT KEBENARAN RENTAS DAERAH DAN NEGERI
MOHON KPM KELUARKAN SURAT KEBENARAN RENTAS DAERAH DAN NEGERI
ALOR SETAR : Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) berharap pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) permudahkan prosedur pergerakan waris untuk menghantar anak masing-masing ke sekolah berasrama yang bakal dibuka tidak lama lagi.
KPM dan MKN akan mengadakan perbincangan pada hari ini (Rabu) mengenai kelonggaran kepada waris merentas daerah dan negeri bagi urusan penghantar anak masing-masing balik ke asrama.
Katanya, laporan menyatakan Menteri Kanan (Pertahanan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mengumumkan keputusan perbincangan itu pada Khamis ini dengan mengambil kira sekolah yang bakal dibuka secara berperingkat bermula 1 Mac.
Presiden KGMMB, Jasni Md Kechik berkata, bagi memudahkan urusan, satu surat yang standard perlu dikeluarkan oleh pihak KPM dan dihantar kepada semua sekolah yang berasrama di seluruh negara untuk dipanjangkan kepada semua waris.
“Pergerakan waris bagi sekolah berasrama yang terletak di luar kawasan dan memerlukan merentas daerah dan negeri ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pasti menyukarkan dan menyekat waris untuk melakukan pergerakan.
“Dengan surat yang dikeluarkan KPM melalui sekolah masing-masing, waris hanya mengguna surat tersebut untuk menghantar anak masing-masing tanpa perlu mendapat kebenaran dari pihak polis yang perlu diambil di ibu pejabat polis daerah masing-masing,” katanya ketika dihubungi SAHIH .
Katanya, Jumaat lalu, KPM menetapkan pembukaan sekolah bermula 1 Mac ini untuk murid sekolah rendah bermula daripada prasekolah, Tahun 1 dan Tahun 2, manakala murid Tahun 3 hingga Tahun 6 pula bermula pada 8 Mac.
Manakala pelajar sekolah menengah pula akan memulakan sesi persekolahan pada 4 April bagi Kumpulan A iaitu Johor, Kelantan dan Terengganu, manakala pelajar sekolah menengah Kumpulan B (Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya) pada 5 April.
Beliau berharap dengan kemudahan diberikan akan memudahkan semua pihak untuk urusan menghantar anak ke asrama.