KPKT LANCAR KEMPEN 1RAPI MAC INI
KPKT LANCAR KEMPEN 1RAPI MAC INI
KUANTAN: Setiap kediaman di negara ini perlu memiliki sekurang-kurangnya satu unit pemadam api sebagai persediaan awal jika berlakunya kejadian kebakaran.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, kebanyakan pemilik kediaman masih tidak menyedari kepentingan menyimpan alat pemadam api di kediaman masing-masing.
GAMBAR HIASAN
“Bagi tujuan ini, kami di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan melancarkan kempen 1Rumah 1Pemadam Api (1RAPI) bulan depan.
“Objektif utama (kempen) ialah untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat mengenai keperluan dan kepentingan memiliki alat pemadam api di rumah mereka sebagai langkah awal jika berlaku kebakaran,” katanya, dipetik dari KOSMO! Online.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Penyerahan Alat Pemadam Api di Taman Perumahan Rakyat Makmur, Gambang Jaya 2, dekat sini, hari ini.
Projek itu adalah yang pertama di negara ini di mana syarikat pemaju menyediakan alat pemadam api di 161 unit rumah yang mereka bina.
“Kita sasarkan dalam tahun ini, pihak pemaju semua projek perumahan baharu perlu menyediakan alat pemadam api bagi unit kediaman mereka bina,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai projek Rumah Malaysia di Pahang, Zuraida berkata, pihak KPKT sudah mengenalpasti lokasi di Lanchang, dekat Temerloh yang sesuai untuk dilaksanakan pembinaan projek berkenaan.
Katanya, perkara itu perlu diperhalusi terlebih dahulu dan perbincangan lanjut bersama Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail akan dilakukan dalam masa terdekat.